Tuesday, 1 October 2013

Suamiku, Perogolku


Suamiku, Perogolku - KUALA TERENGGANU : Hanya kerana mahu menutup malu keluarga selepas anaknya dirogol dan mengandung anak luar nikah, seorang bapa sanggup mengahwinkan anak gadisnya itu dengan perogol terbabit, walaupun menyedari tindakannya itu bakal menjerat diri.
Ternyata, tindakannya itu tidak menyelesaikan masalah berkenaan, malah menyebabkan mangsa fobia dan trauma akibat dirogol selain terpaksa berdepan perogolnya yang juga suaminya.

Lebih malang, mangsa juga terpaksa menanggung malu bersendirian selepas pelbagai tohmahan dilemparkan jiran kerana mendakwa dirinya gadis liar dan mengandung anak haram.Untuk memastikan dirinya tidak diganggu, mangsa sanggup menyembunyikan diri kerana takut berdepan suaminya itu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai sebagai Nor, 19, ketika ditemui berkata, peristiwa hitam itu berlaku pada penghujung 2007 ketika dia berusia 16 tahun dan masih di bangku sekolah.
Menurutnya, dia tidak menyangka dirinya diperangkap rakan baiknya sendiri yang mengundangnya untuk minum petang di rumah sebelum khayal dan tidak menyedari dirinya menjadi korban lelaki bernafsu binatang itu.
Menceritakan semula peristiwa hitam menimpa dirinya itu, Nor berkata, selepas pulang dari sekolah, rakannya mengajaknya ke rumahnya untuk minum selain memujuk dia menemaninya kerana orang tuanya tiada di rumah.
Katanya, ketika di rumah rakannya, dia dihidangkan minuman dan selepas meminumnya kepalanya pening, pandangannya gelap dan tidak sedarkan diri.
Nor berkata, selepas beberapa jam dan terjaga daripada pengsan, dia terkejut apabila tubuhnya yang tidak berpakaian terbaring di atas katil dalam bilik tidur rakannya itu.
“Selepas itu, baru saya sedar diri dirogol seorang lelaki yang juga teman rakan yang berada di dalam rumahnya itu dan lebih mengejutkan apabila rakan baik dan lelaki itu hanya buat selamba apabila saya bertanyakan apa berlaku kepada diri saya.
“Kerana kecewa diperlakukan sedemikian saya pulang ke rumah dan kejadian itu saya rahsiakan daripada pengetahuan keluarga.
“Ketika itu hati saya hancur dan percaya diri saya diperangkap apabila minum minuman dicampur sesuatu yang mengkhayalkan,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu terbongkar selepas keluarganya perasan perubahan pada tubuhnya yang mengandung.
“Saya menceritakan kepada keluarga peristiwa hitam itu dan bapa yang terkejut membuat laporan polis.
“Namun, bapa menarik balik laporan berkenaan dan untuk menutup malu keluarga bapa buat keputusan mengejutkan apabila mengahwinkan saya dengan lelaki terbabit yang merogol saya, tetapi mengasingkan saya daripada suami,” katanya.
Nor berkata, walaupun sudah berkahwin mereka tidak tinggal bersama dan dia sering mengelak bertemu lelaki terbabit sebelum menuntut cerai beberapa bulan kemudian.
“Saya tertekan dengan keputusan bapa menikahkan saya dengan perogol itu, malah lelaki yang bergelar ‘suami’ itu sering menghubungi saya untuk bertemu dan memujuk tinggal bersamanya, namun saya menolak kerana trauma dengan perbuatan biadabnya sehingga merosakkan masa depan saya.
“Beberapa bulan kemudian saya nekad berpisah dengannya sebelum memfailkan cerai fasakh di mahkamah dan kami berpisah, namun dia tetap memburu saya dengan alasan mahu melihat anak daripada benihnya itu, tetapi saya percaya dia ada tujuan lain,” katanya.
Nor berkata, dua tahun dia tidak keluar rumah akibat menderita selain menerima cemuhan jiran yang tidak tahu kejadian sebenar dan selepas melahirkan anak dia tekad memulakan hidup baru.
Menurutnya, pernah bekas suaminya itu menghubunginya untuk kembali bersama menjadi pasangan suami isteri, namun dia tidak menerimanya kerana lelaki itu tidak bertanggungjawab apabila nafkah anak langsung tidak pernah diambil peduli.
“Saya percaya dia bukan mahu melihat anaknya, tetapi lebih kepada nafsu untuk melakukan hubungan seks dengan saya secara paksa, walaupun kami kini sudah berpisah,” katanya.
Nor berkata, sudah beberapa kali dia meminta bekas suaminya memberi nafkah kepada anaknya, namun jawapan diterimanya mengguris hatinya selain menuduh dirinya perempuan murahan.
“Saya bukan seperti yang dia gambarkan dan saya amat membencinya walaupun pernah bergelar suami isteri,” katanya.
Nor berkata, sehingga kini dia benci melihat wajah bekas suami yang memusnahkan masa depannya dan berharap pendedahannya memberi pengajaran kepada remaja lain supaya lebih berhati-hati memilih rakan supaya tidak terjerat.
Menurutnya, kesan psikologi kejadian itu amat mendalam serta sukar dilupakan dan dia kini banyak menginsafi diri selain berusaha mendidik anak hasil perbuatan bekas suaminya yang kini berumur tiga tahun menjadi insan berguna. – Webberita | Terkini via Metro

No comments:

Post a Comment