Tuesday, 1 October 2013

Video CCTV ‘skodengnya’ terhadap adik ipar dan pembantu rumahnya.


KUALA LUMPUR: Lelaki gila seks yang ditahan kerana disyaki merakam aksi bogel 19 penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kelmarin, tidak sekadar menjadikan penyewa rumahnya itu sebagai mangsa, malah turut melakukan hobi ‘skodengnya’ terhadap adik ipar dan pembantu rumahnya.

Sumber polis berkata, siasatan lanjut mendapati beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas daripada suspek turut memaparkan beberapa wanita lain leka mandi dalam bilik air.

Menurutnya, visual terbabit jelas berbeza dengan situasi dalam bilik air rumah sewa penuntut universiti terbabit kerana ia seolah-olah diletakkan di sudut bawah menghala air pancuran bilik mandi.

“Setakat ini, polis belum dapat memastikan gadis berbogel yang mandi dalam rakaman yang dirampas itu, namun ia bukan penuntut universiti berkenaan.

“Walaupun menggunakan CCTV, kualiti visual mangsa yang dirakamkan secara sembunyi itu jelas dan terang. Polis percaya suspek mahir dalam memasang dan menggunakan CCTV berdasarkan beberapa peralatan berkaitan yang dirampas,” katanya.

Menurutnya, beberapa rakaman gambar bogel terbabit disimpan dalam pita atau versi MP4.

Lelaki itu dipercayai ‘menikmati’ visual gambar bogel itu dalam kenderaannya yang dipasang alat penerima isyarat.

Polis percaya lelaki berusia 34 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan hanya untuk memuaskan hobi peliknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran, berkata pihaknya percaya rakaman berkenaan untuk simpanan peribadi suspek dan bukan untuk diedarkan.

Menurutnya, ada kemungkinan lelaki yang ditahan polis kerana memasang CCTV di tiga bilik air rumah yang disewanya kepada 19 pelajar perempuan itu di Taman Bullion Mewah, Jalan Ipoh, turut memasang alat sama di beberapa rumah sewa lain miliknya.

“Kami yakin tiada video rakaman itu diedarkan setakat ini. Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan dan perasmian lambang dan bendera Persatuan Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera Wilayah Persekutuan dan Selangor (Poltera) di sini, semalam.

Kumaran bagaimanapun enggan mengulas lanjut bentuk serta jumlah video rakaman, selain identiti mangsa dirakam yang ditemui polis.

“Kes ini masih terlalu awal dan kami tidak boleh mendedahkan bukti yang ditemui bagi mengelakkan ia mengganggu proses siasatan dan pendakwaan nanti,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, 19 pelajar perempuan bimbang gambar aksi mandi mereka diedarkan kepada umum berikutan penemuan CCTV dalam tiga bilik air di rumah sewa mereka di Taman Bullion Mewah.

Kamera berkenaan dipercayai dipasang pemilik rumah itu ketika membaiki lampu di semua bilik air terbabit kira-kira tiga bulan lalu.

Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Taman Greenwood, Gombak, yang bekerja sebagai kontraktor.

Suspek direman lapan hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment