Sekadar Hiasan
Kisah Misteri Yang Dilalui Oleh Pesakit Koma | Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ni kami nak share satu kisah pengalaman misteri seorang lelaki sepanjang beliau koma.
Memang misteri kisah ni. Jom sama-sama kita baca. Wallahua’lam..
TIDAK berapa lama dulu, seorang rakan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.
Beliau koma beberapa hari tetapi pembedahan berjaya dilakukan. Dia kembali sihat, cuma ada kesan parut di dada. Namun, misteri masih timbul dan sehingga sekarang sukar dijawab mengenai ‘kehadiran’ orang yang sudah lama meninggal dunia di sisinya ketika koma.
“Bayangkan, sepanjang tempoh saya berada dalam keadaan koma, saya ‘dijaga’ oleh arwah ayah yang duduk di sebelah katil saya. Kalangan ‘pelawat’ yang datang pula terdiri daripada anggota keluarga saya yang semuanya sudah meninggal dunia,” ceritanya.
Beliau tidak pasti sama ada ia satu mimpi, mainan dalam kepala atau itulah berlaku pada seseorang yang berada dalam keadaan ‘antara hidup dan mati’ – koma. Hatta, hanya orang yang duduk dalam alam roh saja boleh bertemu roh (orang yang sudah meninggal dunia).
Sambungnya lagi: “Apabila saya mengerang kesakitan, arwah bapa saya akan mengurut belakang saya, sambil memberi kata-kata semangat berbunyi: ‘Tak apa, ayah ada untuk bantu’, ‘sabar, lepas ini baiklah tu’. Akhirnya, arwah bapa mengajak saya mengikutnya pulang.” Menurut rakan itu lagi, beberapa minggu selepas keluar dari IJN, beliau balik ke kampungnya dan kebetulan seorang ustaz yang juga pernah menjadi gurunya datang menziarah.
“Ustaz itu tanya, sama ada saya ada mengalami sesuatu (macam mimpi) ketika menjalani pembedahan dan dalam keadaan koma. Maka, saya ceritalah pengalaman saya itu tetapi beliau tidak terkejut. Malah kata beliau, jika saya ikut kehendak arwah bapa yang mengajak saya pulang bersamanya, ia bermakna saya akan ‘mengikutnya ke dunia lain’ juga (meninggal dunia). Namun, takdir belum menetapkan ajal saya,” katanya.
Ada yang kata, sebab itu apabila seseorang baru sedar daripada koma atau pengsan, dia akan meracau dan pelbagai kata-kata terkeluar daripada mulut dan sesetengahnya lucu atau tidak masuk akal termasuk menyebut perkara yang bukan-bukan seperti memanggil nama orang yang sudah meninggal dunia. Tun Dr Mahathir Mohamad selepas 24 jam selesai menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di IJN, pernah mengeluarkan kata-kata lucu kepada isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.
“Selepas sedarkan diri, beliau (Dr Mahathir) sempat berjenaka dan menanyakan beberapa perkara lucu kepada ibu (Dr Siti Hasmah),” kata anaknya, Mokhzani ketika itu tetapi tidak menjelas lanjut perkara lucu yang dimaksudkan. Ada satu lagi misteri, yang biasanya berlaku dalam masyarakat Melayu ialah seseorang yang akan meninggal dunia, menyebut nama-nama mereka yang sudah lama meninggal dunia.
Biasanya kejadian seumpama ini hanya disedari selepas seseorang itu meninggal dunia. Cerita pula seorang rakan bernama Osman: “Arwah bapa mentua saya, kerap kali menyebut nama ahli keluarga lain yang sudah lama meninggal dunia. ‘Si anu’ mengajak saya mengikutnya….. Itu berlaku kira-kira enam bulan sebelum dia meninggal dunia.
Ada juga antara kami menganggap kenyataan itu sebagai nyanyuk.” Malah ada juga cerita menyatakan orang yang baru meninggal dunia, masih berupaya untuk mengenali siapa yang datang menziarahi dan begitu juga apabila arwah sudah berada di liang lahad. Bagaimanapun, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed ketika diminta pandangannya mengenai pendapat bahawa jenazah (orang sudah mati) boleh melihat mereka yang datang menziarah, berkata al-Qurtubi dalam At-Tazkirah menjelaskan, orang mati nampak orang yang melaluinya. “Orang dah mati diberi peluang oleh Allah untuk tengok orang yang hidup,” katanya dan menyatakan firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad). Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Tawbah, ayat 105). Malah katanya, orang yang sudah mati diceritakan berdoa kepada Allah apabila ada di dunia ini yang hendak mati, meminta supaya jangan dicabut dulu nyawa orang itu kerana dia belum sedia hendak mati disebabkan amal yang kurang.
“Roh ini ada tiga keadaan dan satu daripadanya ialah roh berhubung sesama mereka tanpa had, maknanya antara roh sesama roh boleh berhubung. Contoh macam kita mimpi berjumpa roh lain atau pergi ke satu tempat. “Begitu juga apabila kita berjumpa dengan seseorang, rasa macam mudah hendak kenal dan selesa. Maknanya, roh pun buat kajian mengenai orang yang selari dengan dia dan mudah bertolak ansur.
Ini serupa dengan keadaan di mana ada orang yang kita jumpa tetapi tidak boleh ‘ngam’. Orang nak meninggal ini Allah bagi kelebihan. Sebab itu ada yang sedang nazak kita dengar dia sebut nama orang yang sudah meninggal dunia,” jelasnya. Ibn al-Qayyim dalam Kitab ar-Ruh menyatakan: Apabila seseorang menziarah kubur, orang dalam kubur mengenali orang yang datang dan mendengar suara mereka.
Mereka menjadi gembira dan membalas salam orang yang datang. Ini bukan untuk orang yang mati syahid saja, malah untuk semua orang mati dan tidak terhad waktunya. Ada juga pendapat menyatakan bahawa kebiasaannya orang tua akan menyebut nama ahli keluarga lain yang sudah meninggal dunia, semata-mata kerana sudah nyanyuk, apabila memorinya sudah tidak seimbang.
Penulis teringat tulisan Nuraina Samad dalam blognya Julai tahun lalu mengenai bapanya, Tan Sri Abdul Samad Ismail atau Pak Samad yang meninggal dunia, Khamis lalu. Nuraina, bekas wartawan New Straits Times (NST) berkata, mereka sekeluarga sudah biasa dengan bapa mereka yang kerap terlupa dan ada ketikanya mereka berasakan yang Pak Samad bagaikan berpura-pura lupa nama dan peristiwa tertentu. “Ada ketikanya, kita rasa hairan dengan sikap bapak.
Bapak bertanya mengenai Kak Eda. ‘Lama Kak Eda tak datang’, kata bapak kepada saya. Saya bagi tahu bapak, Kak Eda dah meninggal dan bapak terkejut dengan menyatakan ‘tiada siapa bagi tahu saya.’ “Saya kata, bapak…. kan bapak dah tahu Kak Eda dah meninggal dunia kerana kanser, cuma bapak tidak ingatnya sekarang, kata saya perlahan. Bapak terdiam agak lama,” kata Nuraina. Kad Eda atau Noraida Samad, 51, meninggal dunia pada 8 Mac tahun lalu kerana kanser.
Kira-kira sebulan sebelum sambutan 50 tahun Berita Harian Julai tahun lalu, penulis menghubungi Nuraina untuk membuat temu bual khas dengan Pak Samad, sempena sambutan itu untuk disiarkan dalam keluaran khas. “Tak ada masalah, tetapi yang jadi masalahnya ialah kadangkala bapak antara sedar dan tak sedar. Ok, macam ini, you e-mel saja semua soalan pada saya.
Apabila bapak berada dalam keadaan sedar, saya sendiri akan bertanya dan catatkan. Bila siap akan e-mel you semula,” kata Nuraina. Ternyata Nuraina tidak menghampakan. Segala coretan dalam kolum ini, adalah sebagai pengajaran akan kebesaran Allah dan betapa dunia ini hanya pinjaman semata-mata.
Wang berjuta, timbunan harta dan deretan gelaran, semuanya untuk kesenangan dunia yang tidak akan dibawa bersama-sama ke dunia lain, apabila tiba masanya nanti.
Sumber Asal : Here