Tuesday, 20 August 2013

Dicekup bersekedudukan dengan pelacur remaja 15 tahun



Seorang remaja dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan seorang remaja perempuan dipercayai pelacur di dalam sebuah rumah kedai di Pekan Jitra. 

Difahamkan, remaja lelaki itu datang ke rumah terbabit dengan menunggang motosikal dari bandar raya ini dipercayai mahu mendapatkan khidmat seks dengan remaja perempuan berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, remaja lelaki berusia 17 tahun berkenaan dikatakan pergi ke rumah kedai terbabit untuk bertemu remaja perempuan berusia 15 tahun bagi mendapatkan khidmat seks.

Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat kemudian pergi ke premis terbabit sebelum mengetuk pintu beberapa kali lalu dibuka remaja lelaki terbabit.

“Remaja lelaki itu cuba melarikan diri dengan menuruni tangga, tetapi anggota penguat kuasa agama berjaya menahannya semula dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Hasil soal siasat mendapati remaja lelaki itu mengaku datang ke premis berkenaan untuk melanggan remaja perempuan itu yang menjalankan aktiviti pelacuran sejak berhenti sekolah.

“Ketika dicekup, kedua-dua mereka berpakaian lengkap dan berkurung sehingga mendatangkan syak dalam rumah yang tertutup rapat dan berkunci dari dalam,” katanya.

Sumber berkata, remaja perempuan itu turut mengakui menerima bayaran RM80 untuk dilanggan remaja lelaki berkenaan.

Menurutnya, remaja perempuan itu mengakui ada individu menghantarnya ke rumah berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ terbabit bagi mendapatkan wang dengan mudah.

“Remaja perempuan itu berasal dari bandar raya ini manakala pasangannya itu pula sedang bercuti sebelum menyambung semula pengajiannya.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Pendedahan Aidil terhadap kes cerai Rita

Tiga hari sebelum menjelang Aidilfitri, peminat hiburan tanah air dikejutkan dengan berita perceraian aktres jelita Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan Abdul Radzak. Lafaz cerai tersebut dilafazkan oleh pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu menerusi SMS gara-gara Aidil dikatakan hilang sabar ekoran artikel luahan Rita dalam sebuah akhbar.
Selepas lebih kurang dua minggu mendiamkan diri, akhirnya Aidil tampil membuat kenyataan menerusi Berita Harian hari ini, mendakwa Rita berbohong. Aidil yang enggan mengesahkan tindakannya menghantar SMS untuk meneceraikan Rita bagaimanapun dia mengaku sudah hilang sabar terhadap ibu dua anak itu.
Selama ini Rita menyatakan sepanjang tidak tinggal bersama, Aidil gagal memberi nafkah kepada dua anak mereka, Airit Rayyan Rizqin (4 tahun) dan Airit Rafqa Arjuna (2 tahun). Aidil menegaskan dia menjalankan tanggungjawabnya malah katanya, dia ada menyimpan semua bukti pemberian nafkah tersebut.
Sementara mengulas mengenai isu setiap keputusan yang dibuat sebenarnya turut dipengaruhi oleh teman wanitanya yang dikenali sebagai Zareema, jawab Aidil
“Tiada siapa yang pengaruhi saya dalam setiap keputusan yang saya buat. Sebelum ini dia (Rita) tuduh adik saya, Zaquan Adha dan isterinya Ayu Raudhah banyak campur tangan dalam hal rumah tangga kami. Kini Zareema pula jadi mangsa. Biarlah saya berterus terang bahawa setiap keputusan yang saya buat ini lahir dari hati saya. Buat apa saya hidup dengan orang yang pentingkan diri sendiri seperti dia? Saya juga mengimpikan kehidupan rumah tangga yang sempurna seperti orang lain.
“Bayangkan selama beberapa tahun kami berkahwin, tidak pernah sekali dia mengikut saya pulang ke rumah keluarga saya pulang ke rumah keluarga saya di Seremban
“Siapa kata keluarga saya tidak terima dia? Jika ibu bapa saya tidak terima saya, takkan lah mereka datang melawat ketika dia melahirkan anak kami? Bayangkan orang lain seronok beraya bersama keluarga masing-masing, saya terpaksa beraya seorang diri. Tapi bila tiba giliran dia, saya tiada masalah mengikutnya pulang ke kampungnya di Perlis. Jadi, berapa lama lagi saya harus bersabar?, katanya.
Sama seperti Rita yang akan memastikan hak penjagaan anak berpihak kepadanya, Aidil juga berkata dia bertekad dan akan memastikan dirinya juga ada hak ke atas kedua-dua zuriat mereka itu.
- Malaysian Digest

Mangsa Samun Ditemui Perut Terburai


KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga asing ditemui terbaring di tepi jalan kira-kira 200 meter dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dengan keadaan perut terburai, sebelum disahkan mati, dipercayai menjadi mangsa samun.

Mangsa dikenali sebagai Muzammel Hokque, 39, ditemui bersama dua beg plastik berisi barang makanan dipercayai baru dibeli dari pasaraya berhampiran

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu disedari oleh seorang pemuda, berusia 26 tahun yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis Bukit Aman.

Menurut sumber, ketika ditemui, warga Bangladesh itu masih hidup namun hanya mampu mengerang sambil berguling menahan sakit selama kira-kira 20 minit sebelum disahkan mati oleh paramedik sebaik ambulan tiba.

Sementara itu, sumber polis berkata, mangsa dipercayai di samun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barangan keperluan di Jalan Silang.

Menurutnya, selain barang dibeli, turut ditemui dompet bersama pengenalan diri dan permit sah, namun tiada wang.

“Hasil pemeriksaan didapati terdapat satu bekas tusukan di rusuk kiri namun tiada kesan darah.

“Mangsa mungkin cuba menyelamatkan diri namun tidak sempat mendapat bantuan,” katanya.

Mayat kemudian di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). – Sh

2 Ahli ‘Geng Helmat’ Ditahan


KLANG – Tindakan pantas polis melakukan gerakan memburu berjaya menahan dua daripada lima anggota Geng Helmet dalam tempoh tidak sampai sejam selepas mereka menyamun sebuah restoran di Bukit Tinggi di sini semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit diberkas apabila mereka gagal melarikan diri setelah dikejar anggota polis yang menerima laporan di Jalan Datuk Dagang di sini kira-kira pukul 4 pagi namun tiga lagi rakan suspek meloloskan diri.

Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira dinaiki suspek, dua bilah parang, empat topi keledar, dua telefon bimbit serta sejumlah rokok dan wang tunai dipercayai hasil samun.

Gelaran Geng Helmet digunakan kerana kumpulan terbabit akan memakai topi keledar semasa menyamun di premis perniagaan dibuka 24 jam dan kegiatan jahat itu sering dilakukan selepas pukul 12 tengah malam. – Kosmo

Pelajar Diperkosa Rakan Ibu Sendiri


KULIM – Gara-gara ingin mengecas bateri telefon bimbit di sebuah bengkel terletak di taman perumahan di sini, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dipercayai dirogol oleh rakan ibunya sendiri ketika hendak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang.

Difahamkan, mangsa yang tinggal berdekatan dengan tempat kejadian memaklumkan kepada ibunya hendak berjumpa suspek ditemani adiknya.

“Dalam kes ini, mangsa dikatakan sudah mengenali suspek sejak dia masih kecil. Pada hari kejadian, mangsa pergi ke tempat kejadian bersama adiknya. Apabila tiba di bengkel dimana suspek berada, suspek berusia 30-an telah memberikan RM5 kepada adik mangsa dan mengarahkannya membeli aiskrim.

“Setelah kembali bersama aiskrim dikirimkan suspek, mangsa dan adiknya minta kebenaran untuk balik ke rumah bagaimanapun suspek menahan mangsa sebelum dirogol,” katanya.

Ghuzlan berkata, susulan kes berkenaan melibatkan pelajar bawah umur, pihaknya mengklasifikasikan kes terbabit sebagai rogol dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sehingga kini suspek dipercayai sudah melarikan diri sebaik sahaja melakukan perbuatan itu terhadap mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ghuzlan menasihatkan kepada ibu bapa supaya tidak membenarkan anak perempuan mereka pergi ke rumah atau premis perniagaan teman lelaki biarpun sudah lama dikenali kerana pelbagai kejadian jenayah boleh berlaku. -Sh

10 kes bunuh selesai,lima ahli kongsi gelap mati ditembak


GEORGETOWN - Polis percaya berjaya menyelesaikan 10 kes bunuh di negara ini dengan tumpasnya lima lelaki yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pihak berkuasa di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia membabitkan tujuh kes bunuh di Pulau Pinang, dua kes di Kedah dan satu kes di Negeri Sembilan selain dua cubaan bunuh di Pulau Pinang.

“Polis turut merampas tiga pucuk pistol dengan ujian ke atas senjata api mengaitkan lima lelaki itu dengan kes bunuh berkenaan,” katanya pada sidang media sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4.45 pagi itu, lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an yang disyaki ahli kongsi gelap 04 maut selepas sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan serbuan ke pangsapuri berkenaan di tingkat 11 hasil maklumat awam dan intipan. - BH

Jual Senjata Api Di Facebook


KUALA LUMPUR - Bukan sahaja murah tetapi juga senang diperoleh, itu tanggapan yang dapat diungkap terhadap dua akaun Facebook yang mendakwa menjual senjata api dalam talian, di negara ini.

Satu daripada akaun itu mendakwa menawarkan pelbagai senjata api termasuk pistol, revolver dan ‘assault rifle’ dalam lingkungan harga antara RM500 dan RM15,000.

Menurut akaun Facebook itu, raifal AK-47 dijual dengan harga RM12,000 manakala pistol Smith & Wesson RM500 dan revolver termasuk dua kotak peluru dijual pada harga RM15,000.

Satu lagi akaun Facebook mendakwa menawarkan kira-kira 10 jenis senjata api antaranya E&C M16A4, airsoft gun Tercel M1911 serta S&T Mosin Nagant Gas Rifle (Real Wood) dengan harga antara RM600 dan RM1,250.

Berdasarkan gambar yang dipapar, senjata terbabit menyerupai senjata sebenar. Akaun Facebook itu diwujudkan Februari lalu dan mendapat 688 ‘likes’ di samping menjadi topik perbualan 141 pengguna yang melayari akaun berkenaan.

Pengendali akaun juga dapat dihubungi menerusi nombor telefon mudah alih yang dipapar pada akaun itu serta memberi respons kepada khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh wartawan Bernama ini.

Kewujudan dua akaun Facebook itu menimbulkan persoalan mengenai penguatkuasaan undang-undang di negara ini apabila orang ramai dilihat dapat memperoleh senjata api dengan mudah tatkala kejadian tembak meningkat kebelakangan ini. Sepanjang Julai lepas beberapa kes tembak dilaporkan termasuk yang berprofil tinggi membabitkan pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi yang maut ditembak ketika keluar dari sebuah tokong di Lorong Ceylon dekat sini.

Sehari sebelum itu pada 28 Julai, aktivis pemantau jenayah R. Sri Sanjeevan parah ditembak dua lelaki dalam kejadian di Bahau, Negeri Sembilan.

Pada 5 Julai seorang guru di Kelantan cedera parah selepas ditembak di leher.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika diminta mengulas mengenai kewujudan akaun terbabit, berkata pihaknya akan menyiasat mengikut Seksyen 11 Akta Senjata 1960 jika benar mereka menawar dan menjual senjata api di negara ini.

“Jual senjata api tanpa lesen yang sah adalah kesalahan serius,” katanya yang dihubungi Bernama.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata tindakan mereka yang menjual senjata api secara terbuka menunjukkan mereka tidak gentar dengan undang-undang sedia ada.

“Hukuman berat perlu dikenakan supaya mereka tidak sesuka hati menjual senjata api. “Malahan, sebagai negara yang mempunyai undang-undang ketat, pihak berkuasa dan kerajaan juga harus menjalankan siasatan terperinci agar mereka dapat ditahan dan menjadi pengajaran kepada penjenayah lain,” katanya. -BERNAMA/mStar

Pelajar dicekup khalwat bersama teman lelaki

dic

KANGAR – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun ditangkap penduduk kampung dipercayai sedang berdua-duaan di rumah teman lelakinya berusia 18 tahun di Kampung Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.

Menurut seorang saksi, yang juga penduduk kampung berkenaan, remaja perempuan itu selalu datang ke rumah lelaki terbabit namun, kali ini mereka ditahan penduduk kampung apabila ibu lelaki terbabit tiada di rumah.

“Saya bersama tiga penduduk kampung, termasuk seorang anggota Rela pergi ke rumah itu kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) setelah melihat remaja perempuan berkenaan datang ke rumah teman lelakinya sejak jam 9 pagi.

“Bila kami ketuk, pintu hanya dibuka selepas beberapa minit dan apabila kami masuk ke rumah, mereka berada dalam keadaan mencurigakan di bilik lelaki tu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Remaja perempuan itu yang masih bersekolah berkata, dia ke rumah teman lelakinya untuk meminjam komputer riba.

“Saya tak ke sekolah hari ini sebab nak ambil komputer riba daripada teman lelaki saya. Kami tak buat apa-apa pun cuma tengok kartun Naruto,” katanya.

Pasangan terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaip) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaip, Mohd Al-Hafiz Abdul Aziz berkata, pihaknya datang ke rumah terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, setelah dimaklumkan imam masjid kampung berkenaan.

Katanya, remaja perempuan itu dikatakan selalu datang ke rumah itu untuk menolong ibu teman lelakinya membuat kuih namun semalam ibunya tiada di rumah.

“Kita dah soal siasat pasangan ini dan mereka mengaku berada di rumah menonton televisyen, bagaimanapun kami terpaksa menahan mereka untuk disiasat mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana berkhalwat,” katanya. – Sh