Saturday 24 August 2013

Pembebasan Azilah dan Sirul: Peguam Negara tidak berpuashati dan akan buat rayuan


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan yang diberikan oleh mahkamah ketika membebaskan kedua tertuduh tidak mempunyai kaitan.

"Tentang DSP Musa Safri, kami menegaskan keterangan beliau tidak ada kaitan dengan keseluruhan perbicaraan yang telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan terhadap pensabitan dan hukuman.

Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.

Hakim Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah.

Bil elektrik: ‘Kami tak mampu bayar’

Beberapa penduduk rayu pihak TNB jalankan siasatan dan menemui penduduk bagi menjelaskan perkara sebenar.


PENDANG - ‘Kami tak mampu bayar’. Itulah luahan penduduk Kampung Sungai Baru di sini, yang kurang berpuas hati dengan bil elektrik yang dikenakan kepada mereka dikatakan terlalu tinggi selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat penukaran meter baru hujung tahun lalu.

Difahamkan, seramai 200 penduduk dari 50 keluarga di kampung itu tidak berpuas hati kerana mendakwa bil elektrik naik lebih satu kali ganda selepas penukaran meter baru dan merayu pihak terbabit melakukan siasatan segera.

Penduduk, Ismail Ahmad, 62, berkata, dia terkejut apabila mendapati bil yang dikenakan selepas penukaran meter baru terlalu tinggi melebihi satu kali ganda memandangkan dia hanya menetap bersama isteri sahaja di rumah.

“Waktu guna meter lama bil hanya sekitar RM30 saja namun, selepas tukar, bil yang dikenakan sekitar RM80 sehingga lebih RM100.

“Bil yang dikenakan seolah-olah tidak logik kerana saya tinggal berdua saja di rumah, manakala tiga anak berada di asrama,” katanya.

Katanya, sebagai pesawah bayaran yang dikenakan dianggap tinggi memandangkan terpaksa menanggung persekolahan semua anak ditambah dengan harga barang keperluan sekarang semakin tinggi.

Ismail berkata, selepas menyedari bil yang dikenakan terlalu tinggi, dia merujuk perkara itu kepada Pejabat TNB Guar Cempedak.

“Namun pihak berkenaan meminta saya mengisi borang bertujuan untuk memanggil pihak Kuala Lumpur membuat pemeriksaan.

“Saya isi borang tapi tunggu sekian lama tiada mana-mana pihak yang tampil sehingga kini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, yang membuka warung kopi di kampung terbabit, Shuib Mustafa, 43, berkata, dia juga hairan setelah mendapati bil elektrik naik daripada kebiasaannya kurang RM100 tetapi, bil bulan ini meningkat kepada RM192.75.

“Saya tak dengar pula kata kerajaan akan menaikkan bil elektrik setinggi ini menyebabkan rata-rata penduduk membualkan perkara ini setiap hari di kedai-kedai kopi.

“Saya berharap agar pihak terbabit dapat memberi penerangan agar penduduk jelas mengenai perkara ini,” katanya.

Shuib berkata, sebagai peniagaan warung dia turut rasa terbeba sehingga terpaksa melambatkan pembayaran.