Monday, 21 October 2013

Padah pecah masuk rumah polis


MENGLEMBU – Niat dua lelaki mahu memecah masuk kediaman seorang pegawai kanan polis di Taman Farlim Indah di sini tak kesampaian apabila salah seorang daripadanya diberkas penduduk, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, tindakan dua lelaki berkenaan mengumpil pintu kediaman pegawai berkenaan disedari seorang jiran yang kebetulan berada di tingkap rumahnya sebelum dia menghubungi anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Komuniti Rakan Cop.

Pegawai Rela Ipoh Barat, Kapten Chan Hoon Keong berkata, dia mengetahui rumah milik pegawai polis yang berkhidmat di Pulau Pinang itu tidak berpenghuni.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima laporan penduduk berhampiran, dia bersama beberapa anggota Rela bergegas ke lokasi kejadian meninjau keadaan di situ.

“Apabila dua lelaki terbabit menyedari kehadiran kami, mereka kelam kabut melarikan diri.

“Salah seorang daripadanya cuba bersembunyi di bawah kereta Proton Wira milik seorang penduduk manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya.

Kata Hoon Keong, lelaki berkenaan enggan keluar dari tempat persembunyian dan kerana geram beberapa penduduk bertindak memukulnya.

Jelasnya, apabila disoal, lelaki berkenaan mendakwa datang ke kawasan taman itu dengan menaiki kereta yang diletakkan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Kami menemui kereta Proton Wira Aeroback di mana terdapat baju jaket pengawal keselamatan dan suspek kemudian diserahkan kepada polis manakala kereta ditunda ke balai untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 21 tahun itu akan disoal siasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh, menurut sumber Sinar Harian.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat kesan umpil di pintu kayu.

“Kawasan kejadian adalah rumah teres dua tingkat dan tidak berpenghuni. Kita turut merampas sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam terbabit,” katanya.