Sunday, 4 May 2014

Perbuatan terkutuk remaja 13 tahun terbongkar


Pelabuhan Klang – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mendakwa kemaluannya ‘dipegang’ seorang remaja lelaki yang juga jirannya ketika bermain masak-masak di kawasan kebun berhampiran kediamannya, di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu hanya diketahui ibu kanak-kanak itu kira-kira jam 6.30 petang selepas pulang dari tempat kerjanya apabila diberitahu jirannya yang lain yang terlihat perbuatan terkutuk remaja lelaki berusia 13 tahun itu terhadap mangsa.

Menurut ibu mangsa yang enggan dikenali, sebelum ini anaknya memang sering bermain di kawasan sekitar perumahan berkenaan bersama remaja terbabit, bagaimanapun, dia tidak mengesyaki remaja itu sanggup melakukan perbuatan keji itu terhadap anaknya.

“Ketika saya pulang ke rumah, saya dipanggil jiran yang memaklumkan mengenai perbuatan remaja terbabit dalam kebun di belakang rumahnya, namun, sebaik saja saya mendapatkan anak saya, remaja terbabit tiada di tempat kejadian.

“Saya kemudian bertanyakan anak perempuan mengenai apa yang terjadi dan anak saya menceritakan apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Selepas mengetahui perbuatan itu, ibu mangsa terus pergi berjumpa dengan ibu bapa remaja itu di rumahnya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pelabuhan Klang, dekat sini.

Katanya, ibu bapa remaja terbabit turut hadir bersamanya membuat laporan polis berkenaan.

Ketika dihubungi, ibu mangsa sedang membawa anaknya membuat pemeriksaan doktor bagi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat ibu mangsa dan berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan perubatan kanak-kanak terbabit sebelum siasatan lanjut dapat dijalankan, lapor Hmetro.

Pelajar 16 Tahun dirogol teman lelaki

Gambar Hiasan

SABAK BERNAM – Keinginan pelajar tingkatan empat berseronok dengan teman lelaki sehingga sanggup ponteng sekolah, akhirnya bertukar detik hitam apabila dia dirogol lelaki itu di sebuah rumah di Sungai Besar, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, 16, dipercayai dirogol temannya lelaki itu antara jam 8 hingga 11 pagi di rumah bapa suspek yang ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya suspek untuk membawanya ke rumah dan kemudiannya bertindak merogol mangsa yang baru dikenalinya kira-kira sebulan lalu.

“Lelaki yang mengenali mangsa melalui rakannya dipercayai pernah melakukan seks oral beberapa kali sebelum ini, namun mengakui baharu pertama kali melakukan hubungan seks dengan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Mushar berkata, perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas kakak mangsa mengesyaki sesuatu berlaku kepada adiknya selepas seorang rakan mangsa menghubunginya memaklumkan mangsa tidak ke sekolah.

Katanya, suspek yang menghantar mangsa di rumah selepas waktu persekolahan, tidak menyangka perbuatannya itu berjaya dihidu kakak mangsa.

“Mangsa yang masuk ke rumah kemudiannya didesak kakaknya beberapa kali sebelum mengaku tidak ke sekolah dan dirogol lelaki berkenaan,” katanya.

Noor Mushar berkata, kakak mangsa yang terkejut dengan pengakuan adiknya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi memaklumkan kejadian terbabit.

“Polis mereman suspek yang bekerja sebagai mekanik bermula 29 April lalu sehingga 6 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Sumber SH.