Thursday, 22 August 2013

Polis: 'Geng 04, jangan cabar polis!'

Anggota polis memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya di kawasan Kampung Bahru awal pagi semalam.

GEORGETOWN - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi memberi amaran kepada individu dan ahli kumpulan kongsi gelap, Geng 04 supaya tidak mencabar kewibawaan pihak polis dan mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam.

Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli kumpulan berkenaan yang cuba mencetuskan ketegangan sehingga mendatangkan kebimbangan kepada orang awam.

"Polis memandang serius tindakan beberapa lelaki dipercayai anggota kumpulan berkenaan yang mencetuskan kekecohan semasa upacara pengkebumian salah seorang daripada lima lelaki yang ditembak mati Isnin lalu.

"Polis mempunyai rakaman video dan sudah mengenal pasti kesemua ahli kumpulan yang terlibat.

"Kita menerima laporan kumpulan berkenaan mencetuskan kekecohan dengan membakar mercun semasa perarakan membawa mayat rakan mereka itu petang semalam," katanya kepada media ketika membuat tinjauan Ops Cantas yang diadakan di sekitar negeri ini, hari ini.

Tambah beliau, kumpulan terbabit turut dilihat membawa pelbagai kain rentang yang tertera gambar si mati, nombor dan logo kumpulan mereka.

Katanya lagi, selain mengenali individu terlibat, polis juga mengenal pasti semua kenderaan yang digunakan semasa perarakan itu.

Tambah Abdul Rahim, kertas siasatan sudah dibuka mengenai kejadian itu mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966.

"Saya memberi amaran kepada semua tidak kira dari kumpulan mana sekalipun, jangan tunjuk kekuatan geng masing-masing.

"Polis akan ambil tindakan susulan selepas ini," katanya.

Sinar Harian difahamkan, ketika upacara perarakan mayat salah seorang lelaki yang ditembak mati itu petang semalam, berlaku kekecohan apabila rakan serta pengikut ahli kumpulan terbabit dikatakan membakar mercun dan melontarnya ke arah sebuah balai polis.

Bukan itu sahaja, pelbagai kain rentang yang dibawa dan perarakan oleh penyokongnya menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya. SH

Isu PTPTN: KJ juga tidak setuju

Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini membantah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Menurutnya, perkara itu akan menjadi bebanan kepada peminjam dana tersebut.

"Pemuda Umno tidak setuju peminjam PTPTN disenaraikan dalam CCRIS.

"PTPTN tidak sama dengan pinjaman bank untuk kereta atau rumah.

"Jangan bebankan graduan," katanya yang dipetik dari akaun mikro Twitternya.

Sebelum ini media melaporkan, PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menyatakan dalam tweetnya, pandangan berhubung perkara itu telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Kedua.

"Saya telah sampaikan pandangan Pemuda Umno bantah PTPTN senaraikan CCRIS pada Menteri Pendidikan Kedua tadi," jelasnya lagi.

Isu PTPTN: PKR akan tentang CCRIS


Rafizi Ramli


SHAH ALAM - PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan untuk menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS).

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam CCRIS merupakan satu 'ugutan dan hukuman' serta perbuatan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat, terutama golongan muda.

Sehubungan itu katanya, parti itu akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat kerajaan sehinggalah ia dibatalkan oleh kerajaan.

“Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Tindakan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat ini mempunyai kesan besar kepada rakyat terutamanya anak muda.

"Apabila maklumat pembayaran dan pinjaman PTPTN disenaraikan di dalam CCRIS, ia membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Idris memberitahu, PTPTN akan melaksanakan Sistem CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Idris berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

"PTPTN merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank," katanya.

Sementara itu, ujar Rafizi, langkah yang diambil kerajaan akan membolehkan institusi kewangan menafikan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi kepada peminjam yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.

Katanya lagi, peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain.

Tambah Rafizi lagi, beliau percaya bahawa langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam sistem yang diuruskan Bank Negara Malaysia itu tidak akan memperbaiki prestasi PTPTN untuk mengutip hutang berkenaan.

“Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama institusi tersebut menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam.

“Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.

"Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan," ujarnya.

Tambah Rafizi: "Saya memberi amaran kepada menteri berkaitan supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS kerana kami akan menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh BN."

37 penumpang termasuk pemandu maut



KUALA LUMPUR - Seramai 37 terkorban manakala 16 cedera, dalam nahas bas ekspres yang membawa 53 orang, terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands hari ini.

Mangsa yang maut terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita, kata Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid.

Antara yang terbunuh dalam tragedi itu ialah warga Bangladesh, Thailand dan China.

Mereka yang cedera termasuk yang dilaporkan kritikal kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (lima), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa.

Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Kira-kira 450 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berada di lokasi kejadian.

Soiman berkata punca kemalangan belum diketahui dan pihaknya juga masih belum menemui saksi kejadian.

"Tapi kami merasakan keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat," katanya. - Bernama

*** Lagi gambar nahas dibawah***