Wednesday, 25 September 2013

Padah Ikut Kekasih, Remaja Dirogol Bergilir-Gilir


Mereka baru kenal, tetapi kerana terlalu mengikut rasa hati, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akhirnya melalui hari gelap dalam hidupnya apabila menjadi hamba seks kekasih dan dua lagi lelaki ketika dikurung selama empat hari.

Dalam kejadian 26 Jun lalu, remaja berkenaan diajak teman lelaki baru dikenali berusia 20-an itu keluar bersiar-siar di ibu negara. Lelaki itu beriya-iya memujuk teman wanitanya itu bersiar-siar dan berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah di Cheras selepas itu.

Bagaimanapun, menurut sumber, selepas menjemput mangsa pada jam 5 petang, lelaki terbabit mula mencari helah kononnya mahu berehat dan membawa remaja itu ke rumah sewanya di Pantai Dalam. Katanya, mangsa tidak mengesyaki akan berlaku perkara buruk kerana dua rakan lelaki terbabit ada bersama dalam rumah berkenaan.

“Sebaik duduk di ruang tamu, mangsa diajak lelaki itu melakukan hubungan seks dalam bilik. Namun, mangsa menolak pelawaan berkenaan menyebabkan lelaki terbabit tidak puas hati lalu menarik mangsa masuk ke dalam biliknya.

“Mangsa mendakwa diperkosa lelaki itu sebelum dia dikurung dalam bilik berkenaan,” katanya yang memberitahu mangsa kini trauma dengan tragedi hitam itu.

Sumber berkata, lebih malang apabila mangsa turut diperkosa dua rakan serumah lelaki itu secara bergilir-gilir.

Menurutnya, tidak tahan dijadikan mangsa pemuas nafsu, mangsa berikhtiar pelbagai cara untuk lolos dan akhirnya berjaya melarikan diri selepas empat hari dikurung teman lelakinya itu.

Difahamkan, mangsa melarikan diri sebelum menaiki teksi untuk pulang ke rumahnya dalam keadaan trauma, namun takut menceritakan apa yang berlaku kepada keluarganya.

Sumber memberitahu, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kelmarin selepas dipujuk keluarga yang menyedari perubahan sikapnya dan dia kemudian dibawa membuat laporan di Balai Polis Pantai.

No comments:

Post a Comment