Pelbagai persoalan timbul sebagai reaksi kepada situasi ini. Apakah yang menjadi punca penyusutan nilai matawang negara kita berbanding USD? Adakah ianya memberikan impak negatif kepada kehidupan kita? Adakah krisis ini berpanjangan?
Penulisan ini akan membantu pembaca untuk memahami faktor yang menjadi pemain utama disebalik kenaikan/penurunan matawang dunia, kesannya kepada kesihatan ekonomi negara dan bagaimanakah jalan terbaik untuk kita menghadapinya pada kapasiti sebagai seorang mahasiswa.
Sejarah Penggunaan Wang Kertas
Sebelum kita memasuki perbincangan ini dengan lebih mendalam, sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang kertas terlebih dahulu.
Kita biasa menggambarkan bahawa wang yang digunakan oleh masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak sebagaimana yang sering disajikan di dalam filem dan penulisan klasik. Begitu juga jika kita mengamati sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan himpunan hadith, kita tidak akan terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan dinar (emas) dan dirham (perak) di dalam urus niaga ketika zaman tersebut. Persoalannya disini, bilakah bermulanya penggunaan wang kertas?
Penggunaan emas dan perak telah digunakan secara meluas dan diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh dunia berikutan nilai yang tersimpan di dalam logam berharga itu sendiri. Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan perak sebagai medium perantaraan jual beli dan penyimpan nilai usaha dan kekayaan manusia:
“Allah telah menciptakan dua jenis logam, iaitu emas dan perak sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal. Penduduk dunia menganggapnya sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila berada dalam keadaan-keadaan tertentu, barang-barang lain dikehendaki, ia tidak lain daripada mencapai tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh emas dan perak. Semua barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran, sementara emas dan perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar keuntungan, harta dan kekayaan.”
Walaubagaimanapun, emas dan perak mempunyai kelemahan yang ketara iaitu kesukaran untuk membawanya di dalam kuantiti yang banyak dan wujud kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa di dalam perjalanan yang jauh. Perkembangan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang menuntut kepada penggunaan wang dalam nilai yang besar telah membawa kepada inovasi penciptaan wang kertas. Pada permulaan penggunaannya, ‘wang kertas’ tersebut tidak dikira sebagai mata wang. Ianya hanya sebagai dokumen bukti atau resit bagi mewakili nilai emas atau perak yang dimiliki oleh pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan oleh individu atau institusi yang diamanahkan untuk menjaga emas dan perak tersebut.
Penggunaan wang kertas mula dikesan pengamalannya di China pada seawal abad ke-7 masihi. Manakala, negara barat pula mula menggunakannya sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang kertas di dunia Islam pula hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dunia umumnya menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan wang kertas pada mula pengenalannya tidaklah sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang kertas hanya mewakili simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank dengan menukarkannya. Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas (gold-standard).
Akan tetapi, peredaran masa telah membawa kepada dominasi penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau perak itu sendiri. Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang kertas dengan emas atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan duit kertas telah melebihi simpanan emas sepertimana yang pernah terjadi pada tahun 1759 di England.
England merupakan antara negara pertama yang meleraikan ikatan mata wangnya daripada emas pada tahun 1931 lanjutan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia barat (Great Depression). Pada tahun 1944, konferens Bretton Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan untuk mengstrukturkan semula polisi kewangan dunia pasca perang dunia kedua. Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya secara tidak langsung telah memainkan peranan sebagai mata wang dunia. Semua mata wang telah diikat dengan dollar, manakala dollar pula diikat kepada emas dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan 35 oz emas.
Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971. Sejak daripada itu, mata wang di seluruh dunia tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden Nixon pada tahun 1971 itu telah membuka lebaran sejarah yang baharu di dalam sejarah pengamalan kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wangfiat. Dinamakan fiat kerana merujuk kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada apa-apa komoditi melainkan hanya anggapan semata-mata.
Sejak nilai mata wang telah diapungkan nilainya bergantung kepada kondisi pasaran, ianya mudah terdedah kepada risiko spekulasi dan ketidakstabilan. Perlaksanaan sistem Fractional Reserve yang menjadi asas kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa implikasi yang lebih teruk apabila ianya menjadi faktor utama kepada inflasi.
Kenapa Nilai Mata Wang Sesebuah Negara Jatuh/Meningkat?
Untuk memahami punca jatuh naik (appreciate/depreciate) sesuatu nilai mata wang, sewajarnya kita memahami terlebih dahulu konsep permintaan-pembekalan (demand-supply).
Mata wang diniagakan dalam pasaran tukaran mata wang asing (Foreign Exchange Market) dan turun naik nilainya bergantung pada tahap permintaan dan jumlahnya yang berada di dalam pasaran. Secara asasnya, semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu mata wang, maka nilainya akan meningkat. Manakala, jika pemintaan terhadap sesuatu mata wang menurun atau ramai menjualnya sehingga berlaku lebihan di dalam pasaran, maka nilainya akan jatuh.
Apakah yang menyebabkan berlakunya peningkatan dan penurunan permintaan?
Faktor peningkatan:
1. Perkembangan sektor eksport
Untuk mengimport barangan daripada sesebuah negara, perlu menggunakan mata wang negara tersebut. Negara yang produknya kompetitif di dalam persaingan eksport, nilai mata wangnya kukuh kerana permintaan terhadap mata wangnya tinggi.
2. Kadar bunga (interest) tinggi
Kadar bunga yang tinggi yang ditetapkan oleh bank negara menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menyimpan di dalam negara tersebut. Secara tidak langsung akan mengembangkan permintaan terhadap mata wangnya.
3. Peningkatan permintaan di dalam pasaran tukaran mata wang asing
Apabila sesuatu mata wang dijangka nilainya akan meningkat, biasanya akan membawa kepada pembelian mata wang negara tersebut oleh pemain pasaran dan seterusnya melonjakkan nilainya.
4. Kemasukan pelabur asing
Negara yang dilihat menjadi destinasi yang menarik untuk perlaburan, akan membawa kemasukan pelabur luar ke dalam negara (capital inflow). Mereka perlu membeli mata wang negara tersebut untuk terlibat di dalam perlaburan di negara tersebut.
5. Campur tangan bank negara
Terdapat negara yang sengaja merendahkan mata wangnya seperti yang dilakukan oleh China. Bank pusatnya akan membeli bon terbitan AS supaya mata wangnya akan menjadi lebih rendah daripada dollar. Tindakan ini dibuat supaya barangan lokalnya mampu kekal lebih murah dan mampu mengekalkan momentum persaingan di dalam pasaran eksport.
6. Kadar pengangguran rendah dan peningkatan pendapatan rakyat
Kadar pengangguran yang rendah dan tahap pendapatan rakyat yang tinggi meningkatkan permintaan wang di dalam pasaran domestik seterusnya meningkatkan nilai mata wang negara tersebut.
Faktor penurunan:
1. Kadar bunga yang rendah
Kadar bunga yang rendah akan mengurangkan tarikan yang ada untuk pelabur luar menyimpan di dalam sesuatu negara.
2. Peningkatan inflasi
Inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna di dalam sesebuah negara, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kesannya, ekonomi negara tersebut di nilai sebagai lemah dan tidak stabil oleh pelabur asing.
3. Aktiviti spekulator
Tindakan spekulator di dalam pasaran tukaran mata wang asing menjual mata wang sesebuah negara dalam jumlah yang besar berupaya menyebabkan kekacauan dan ketakutan di kalangan pasaran saham.
4. Campur tangan kerajaan
Sepertimana yang pernah dilakukan oleh AS melalui tindakan Quantitative Easing. AS membeli bon terbitan negaranya sendiri dan secara tidak langsung mengwujudkan impresi permintaan yang tinggi terhadap dollar.
Faktor Kejatuhan Nilai Ringgit
Setelah kita memahami punca naik dan turunnya mata wang sesebuah negara, kita akan lebih mudah untuk mengenal pasti punca penguncupan nilai mata wang negara kita.
1. Penurunan ketara harga minyak dunia
Mutakhir ini, harga minyak menah dunia telah mencatatkan sejarah apabila mencecah serendah 48 USD/setong pada 19 Januari yang lalu. Penurunan harga hampir 50% daripada harga tahun lalu yang setinggi USD100-115/setong telah menjejaskan pendapatan Malaysia yang merupakan negara pengeksport minyak mentah.
Penghasilan minyak dunia yang meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi AS yang berupaya menghasilkan shale oil dan kelembapan ekonomi yang dialami oleh negara penyumbang utama ekonomi dunia seperti China dan Jepun telah mengurangkan permintaan terhadap minyak seterusnya menjadi faktor kejatuhan harga minyak dunia.
Keputusan Organisasi Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang diwakili oleh Saudi di dalam kenyataan media sebelum ini bahawa mereka tidak akan mengurangkan penghasilan minyak untuk mengembalikan semula harga asal minyak telah memberikan ramalan bahawa harga minyak mentah akan kekal pada kadar yang rendah.
30% daripada pendapatan Malaysia adalah datang daripada sektor minyak. Di dalam Bajet 2015, diunjurkan bahawa sektor ini bakal menyumbang sejumlah RM 82 billion atau 11.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Akan tetapi apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia secara drastik sebegini, Malaysia dijangka akan mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM 25 billion. Kelompongan pada pendapatan negara ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh lebihan yang dinikmati melalui penghapusan subsidi petrol sebanyak RM 18 billion.
Kebimbangan timbul terhadap status Imbangan Akaun Semasa negara (trade account/current account). Akaun semasa adalah jumlah baki perdagangan (jumlah eksport – jumlah import barangan dan perkhidmatan). Penguncupan lebihan pada akaun semasa (import lebih daripada eksport) akan menunjukkan marginal surplus yang makin mengecil. Dibimbangi sekiranya pendapatan melalui aktiviti eksport minyak mentah kita terjejas akan membawa kepada defisit pada akaun semasa seterusnya menjerumuskan Malaysia ke dalam masalah deficit berkembar (twin-deficit).
Ketidakstabilan ini mengurangkan keyakinan dan tarikan terhadap pelabur luar.
2. Polisi dan urustadbir kewangan kerajaan
Sebelum daripada berlakunya kejatuhan harga minyak mentah dunia, ramai penganalisa ekonomi sudah menjangkakan akan berlaku penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia kerana polisi kewangan yang dilihat tidak fleksibel dan kurang mesra pelabur berbanding negara membangun yang menjadi pesaing kepada Malaysia seperti Indonesia dan India.
Malaysia kini dilihat sebagai prospek yang berisiko kepada pelabur; takat hutang awam yang tinggi, peningkatan hutang asing dan penguncupan marginal lebihan akaun semasa telah menjadi antara faktornya.
Pegangan hutang oleh pelabur asing mewakili 45% daripada hutang negara telah meletakkan negara Malaysia berada di dalam posisi yang membimbangkan. Ini berbeza dengan Indonesia yang hanya mempunyai 32.5% sahaja hutangnya daripada luar, begitu juga India dengan hanya serendah 2 %.
3. Kekukuhan dollar Amerika Syarikat (USD)
Semenjak daripada tahun lepas, AS telah meningkatkan kadar faedahnya. Menyebabkan berlakunya kemasukan modal (capital inflow) ke dalam negaranya seterusnya mengukuhkan kedudukan USD itu sendiri.
Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Kerajaan?
Perdana Menteri kita, Y.A.B Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan kondisi semasa ekonomi Malaysia dan tindakan susulan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi ini. Sikap positif dan optimis yang ditunjukkan oleh beliau dalam menanggapi isu ini adalah sesuatu yang saya anggapkan adalah untuk mengelak timbulnya kebimbangan yang melampau di kalangan rakyat dan juga untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis keyakinan terhadap kendalian kerajaan. Sikap ini penting supaya, rakyat akan sederap langkah dengan yakin bersama kerajaan dalam mengembleng kudrat memulihkan ekonomi negara kita.
Untuk memudahkan pemahaman pembaca, suka untuk saya rumuskan pelan tindakan kerajaan kepada beberapa isi:
1. Mengembangkan pasaran eksport dan perlancongan
Nilai mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing di dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah berbanding negara yang stabil nilai mata wangnya. Kerajaan telah menyusun beberapa tindakan untuk memastikan perolehan daripada eksport meningkat seterusnya memastikan Imbangan Akaun Semasa kita sentiasa positif.
Antaranya seperti membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menerokai pasaran luar dengan mempromosikannya kepada 46 buah negara. Begitu juga meningkatkan kualiti dan capaian tahan logistik dan pengangkutan bagi tujuan perdagangan.
Kerajaan juga, bagi merancakkan kemasukan modal daripada luar telah menyusun beberapa pelan untuk mempromosi sektor perlancongan negara kita. Antaranya seperti menghapuskan caj permohonan visa kepada pelancong luar.
2. Mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import
Barangan import akan menjadi lebih mahal di kala kejatuhan nilai mata wang negara seperti sekarang. Kebergantungan yang tinggi kepada barangan import akan membawa kepada inflasi dan membawa kepada risiko defisit –bekembar.
Justeru, kerajaan telah menyusun beberapa tindakan seperti mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Begitu juga menggalakkan pembelian barangan tempatan di kalangan rakyat dan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh jualan mega di seluruh Malaysia.
3. Meneruskan pengstrukturan semula pendapatan dan mengkaji perbelanjaan negara
Bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara, kerajaan komited untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi negara melalui mempelbagaikan sumber kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan meneruskan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada 1 April 2015 ini.
Kerajaan juga akan menghentikan sementara Program Latihan Khidmat Negara yang akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM 400 juta. Seterusnya, mensasarkan penjimatan sebanyak RM 1.6 billion melalui mengoptimumkan pengurangan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional.
Kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit. Kerajaan juga akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit
Kerajaan tidak mengambil tindakan menghentikan projek mega dan memotong kebanyakan perbelanjaan (austerity) dan menggalakkan rakyat berbelanja melalui penganjuran jualan mega dilihat adalah untuk memastikan kitaran ekonomi terus berjalan dan mengelakkan kelembapan ekonomi disebabkan oleh perlahannya kitaran duit dalam negara.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak mengambil keputusan untuk meningkatkan kadar bunganya seperti mana negara yang lain kerana ianya akan membebankan rakyat. Persoalan yang paling utama perlu diamati dan dijawab di dalam menanggapi isu kejatuhan mata wang ini adalah, “Adakah perlu untuk naikkan semula nilai mata wang atau fokus kepada kestabilan ekonomi?”.
Alternatif: Ekonomi Islam?
Akhir tinta, saya percaya ramai yang ingin mengetahui apakah jawapan di sebalik kekalutan dan kekusutan yang ditimbulkan oleh sistem ekonomi konvensional ini. Jika ditanya pada saya, saya sentiasa optimis bahawa jawapannya adalah dengan kembali kepada Islam.
Jika kita renungi semula sejarah peradaban manusia, kita akan mendapati kerosakan sistem ekonomi pada hari ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia yang melepaskan diri daripada kerangka wahyu. Sebagai contoh, kita lihat pada sistem kewangan itu sendiri. Bermula daripada peperangan sesama sendiri yang memaksa negara-negara mencetak lebih banyak wang sehingga terpaksa meleraikan ikatan nilai mata wangnya dengan emas. Seterusnya, pengamalan sistem penghasilan wang (Fractional Reserve System) yang berasaskan kepada riba dan sifat matawang tanpa sokongan sebarang komoditi, telah membawa kita ke dunia yang tidak henti dengan sindrom inflasi. Semua ini terjadi kerana kita membelakangi panduan yang digariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Walaubagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa kita sudah berada di dalam krisis ini. Sebaiknya bagi kita yang mendokong penerapan nafas Islam dalam segenap kehidupan termasuk di dalam urusan kenegaraan dan urus tadbir ekonomi hendaklah memikirkan jalan keluar dan alternative kepada permasalahan yang dihadapi sekarang.
Adakah kita perlu memperjuangkan sistem Full-reserve sepertimana yang diperjuangkan oleh ahli ekonomi daripada sekolah aliran Austria? Adakah kita perlu mengikat kembali wang kertas dengan komoditi yang bernilai? Bagaimana pula caranya untuk mengembangkan kredit dan apakah regulasi yang kita akan guna pakai?
Ingin saya tinggalkan kepada kalian banyak lagi persoalan, tetapi cukuplah sekadar yang diatas dahulu sebagai permulaan.
Penutup
Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia memberikan kesan yang ketara kepada kita selaku mahasiswa yang menuntut di luar negara. Jumlah wang saku yang dilihat mengecil, bebanan untuk membayar yuran pengajian semakin memberat, simpanan menggunakan ringgit menyusut kuasa belinya dan pelbagai lagi yang dirasai oleh kita di sini.
Pesanan saya, jika kita mempunyai masalah kewangan disebabkan oleh sumber pendapatan yang tidak menentu, laksanakanlah tiga perkara:
1. Berniaga
Di Mesir, pasarannya sangat luas untuk diterokai peluang meraih pendapatan. Jumlah pelajar yang mencecah ribuan orang memberi makna bahawa terdapat berbagai keperluan dan kehendak yang wujud. Sama ada terhadap barangan mahupun perkhidmatan.
Saya sering memberitahu rakan saya bahawa “kemalasan orang adalah peluang untuk kita.” Maka manfaatkanlah kemahiran dan pengetahuan yang kalian miliki. Tetapi pastikan bahawa pekerjaan tersebut selari dengan syariat dan tidak sehingga menganggu pelajaran.
2. Melabur
Jika tidak mampu berniaga kerana kesuntukan masa, maka melaburlah dengan wang yang anda ada. Anda boleh membantu rakan yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai modal melalui konsep Mudharabah, atau anda boleh bekerja bersama-sama dengan berkongsi modal melalui konsep Musyarakah.
Ingat, jangan terperangkap di dalam janji manis skim cepat kaya.
3. Berjimat dan memulakan simpanan
Setelah memperolehi wang, berjimatlah. Pastikan anda tahu kemana setiap sen yang anda belanjakan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Sentiasa amati perkembangan nilai mata wang, tukarkan simpanan anda ke mata wang yang lebih kukuh atau aset yang dijangka dapat mengekalkan nilainya setelah peredaran masa.
Sekian.