Wednesday, 19 March 2014

Lima maut langgar pokok

Juru: Lima remaja terbunuh apabila kereta mereka naiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 141.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, depan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, di sini, 10.20 malam tadi.

Berikutan perlanggaran itu, tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala dua lagi rakan mereka tersepit di dalam kereta yang remuk.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai Norizal Md Rabani berkata, dua daripada mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

“Kami mengambil kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terpaksa memotong badan kenderaan menggunakan alat pemotong khas.


Keadaan kereta yang mengorbankan 5 remaja di depan R&R Juru.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sampai ke lokasi bersama sebuah jentera dan 17 anggota beberapa minit kemudian,” katanya.

Semua mangsa yang maut berusia 17 hingga 18 tahun dan berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal, manakala seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian selepas keluarga seorang daripada mangsa yang tiba terus menangis.

Empat mangsa yang terbunuh adalah Tan Chee Win, 17, Mar Jing Quan, 18, Song Jing Ping, 17, dan Chye Zhi Fei, 17, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Lelaki maut leher kena kelar


Keadaan mangsa yang ditetak dan dikelar dengan kejam dalam kejadian pagi semalam. - Foto Sinar Harian


SUBANG JAYA – “Dia cuba bangun dan lari setelah ditetak kali pertama, tapi lelaki yang datang ditemani seorang perempuan itu terus menetak tengkuk mangsa berkali-kali. Lepas tu saya lihat dia dah tak bergerak," demikian menurut seorang peniaga nasi lemak, Waliah Made, 55.

Waliah yang menyaksikan kejadian pembunuhan seorang warga Myanmar di Taman Perindustrian Maju Jaya, pagi semalam berkata, mangsa ketika itu sedang berjalan kaki untuk menghantar barang makanan dari pasar mini tempatnya bekerja ke medan selera berdekatan.

Sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki dan wanita meletakkan motosikal di tempat parkir berhampiran bangunan rumah kedai tiga tingkat berkenaan.

Menurutnya, dia ternampak lelaki tersebut terus menetak tengkuk mangsa dan dalam keadaan berlumuran darah mangsa bangun dan berlari untuk menyelamatkan diri.

Mangsa dikejar sejauh 20 meter dan terus diserang bertubi-tubi menggunakan parang sehingga dia rebah berdekatan tangga rumah kedai tersebut.

“Saya hanya berani lihat dari jauh, apabila mangsa sudah tidak bergerak saya terus memaklumkan kejadian kepada pemilik pasar mini tempat dia bekerja,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 7.55 pagi.

Pemeriksaan mendapati mangsa bekerja sebagai penghantar barang dan dikenali sebagai Khin Win Maung, 34.

Leher mangsa dikelar sepanjang tiga inci, terdapat dua kesan hentakan di belakang kepala berukuran satu inci dan kesan luka di belakang badan sebelah kanan dpercayai dibelasah dengan objek tumpul.

Yahaya berkata, mangsa tinggal di kawasan sama bersama isteri dan bekerja di tempat yang sama sejak tiga tahun lalu.

Kedua-duanya menyewa sebuah bilik terletak di belakang kedai tempat mereka bekerja.

Maklumat mengatakan berlaku pergaduhan antara kumpulan warga Myanmar yang dipercayai dalam keadaan mabuk, Ahad lalu.

“Kita percaya ia bermotif dendam,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Suspek masih diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian difahamkan ia kes pembunuhan ketiga membabitkan warga Myanmar di kawasan berkenaan sejak setahun lalu.

Kawasan berkenaan didakwa menjadi port warga Myanmar menikmati minuman keras sebelum akhirnya bergaduh sesama sendiri.