Sunday, 9 June 2013

Pasangan kekasih cuba melampiaskan nafsu dalam kenderaan GAGAL!!!

Anggota polis memeriksa kenderaan pasangan yang ditahan.

KULIM - Tindakan pasangan kekasih cuba melampiaskan nafsu di dalam kereta yang diletakkan berhampiran semak di Taman Tasek Kulim gagal apabila mereka dicekup oleh anggota polis yang melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.


Ketika pemeriksaan dilakukan, pasangan kekasih berkenaan sedang berbaring di dalam kereta sebelum bergegas bangun sambil membetulkan pakaian masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, curiga dengan keadaan kereta berkenaan, sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Timbalan Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, dari semakan yang dibuat, pasangan kekasih itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah dan diarahkan beredar dari kawasan semak berkenaan.
"Tindakan pasangan kekasih berkenaan yang dipercayai cuba untuk melampiaskan nafsu di kawasan semak berkenaan amat dikesali.

"Walaupun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun tindakan sebegini mampu mengundang pelbagai kegiatan jenayah yang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, pihaknya turut menasihatkan pasangan kekasih supaya tidak berpelesiran di sekitar kawasan Taman Tasek Kulim dan tempat terselindung terutama pada waktu lewat malam.

Katanya, pihaknya bimbang sekiranya kegiatan ini akan menyebabkan berlakunya kes lain seperti disamun oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Polis akan menahan sesiapa sahaja untuk pemeriksaan sekiranya berada dalam keadaan mencurigakan. Ini adalah untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak diancam oleh mana-mana pihak.

"Tindakan duduk di dalam kereta berdua-duaan di tempat terselindung boleh mendatangkan pelbagai masalah. Mereka boleh disamun dan kemungkinan terlibat dalam jenayah rogol. Saya menyarankan supaya mereka pergi ke kawasan yang cerah dan mempunyai orang supaya senang meminta pertolongan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.-SINAR HARIAN

Kisah Seram Di Bilik Mayat

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di sebuah hospital kerajaan di Selangor. Semoga dapat kita ambil iktibar dan tauladan.

Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dariHospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.




Gambar Hiasan

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik mayat berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.” Ustaz,” kata wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.“Betulkah ini mayat anak mak cik?”tanya saya. “Mak cik rasa betul… tapi kulitnya putih.” “Makcik lihatlah betul-betul.” kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya. “Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. 


Dia seperti menyembunyikan sesuatu.”Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu, saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. ” kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. 

Dia memang anak yang baik. Tapi…” tambah wanita itu lagi “apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan.” kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam. Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang.”

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, “Orang tua mana pula?” katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya, tuturannya serta pakaiannya. “Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi…. emaknya dah meninggal lima tahun lalu!” Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’ yang datang menemui saya pagi itu? Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?

Wallahu’alam….