Tuesday 10 September 2013

Mengapa kedudukan IPTA di Malaysia merosot?

Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:

Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
Reputasi pencapaian akademik (40%)
Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
Keantarabangsaan pelajar (5%)
Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdaya saing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.

Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Pada 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan NUS di Singapura.

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia

Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.


Rafizi Ramli

Kenaikan harga rumah di Kuching melampau

Kenaikan harga petrol akan terus menjana kenaikan harga rumah kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan harga bahan binaan dan kos pembinaan.
KUCHING: Harga rumah di Kuching terus meningkat melebihi indeks rumah purata keseluruhan di Malaysia.

Ketua Wanita PKR Negeri, Voon Shiak Ni berkata sebagai seorang pengamal undang-undang dalam urusan hartanah, sejak dua tahun yang lalu beliau mendapati bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 10% ke 20% daripada harga rumah kediaman di seluruh Kuching.

“5 tahun yang lalu, harga standard rumah dua tingkat dan teres pertengahan berharga di antara RM350,000 dan RM400,000,” katanya.

“Kini, sebuah rumah teres di Kuching mencecah RM400,000 dan rumah berkembar hampir mencecah di antara RM800,000 kepada RM1 juta,” tegas beliau.

Beliau berkata antara faktor lonjakan harga di Kuching kerana kenaikan harga bahan binaan yang membawa kepada peningkatan kos pembinaan dan juga peningkatan dalam kos buruh yang disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kenaikan harga petrol akan terus menjana kenaikan harga rumah kerana ia secara lansung akan menyumbang kepada peningkatan dalam harga bahan binaan dan kos pembinaan,” lanjut beliau.

“Peningkatan harga barang oleh kenaikan petrol membuatkan harga rumah meningkat secara melulu,” katanya.
Baru-baru ini kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen dan RON97 sebanyak 15 sen untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi yang akan menjimatkan pendapatan negara sebanyak RM1.1b.

Beliau juga menambah peningkatan pasaran juga membuka spekulasi dan akibat daripada itu mendorong kenaikan harga rumah.

“Langkah-langkah perlu diambil untuk membendung kenaikan harga rumah dan kami menyeru kerajaan untuk mengambil beberapa langkah membendung spekulasi dan mengawal harga barang tertentu untuk mengawal kenaikan harga rumah,” katanya.

“Kami juga merayu untuk skim perumahan yang lebih oleh Kerajaan, untuk menyediakan lebih banyak rumah yang mampu untuk membantu keluarga muda untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk keluarga,” beliau akhiri.