Wednesday, 26 March 2014

3 beranak maut rempuh lori




Bandar Baharu: Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah lori di Kilometer 170 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran sempadan Bandar Baharu-Nibong Tebal, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Asisten Superintenden Azmi Abu Bakar berkata, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dalam perjalanan dari arah Bandar Baharu ke Pulau Pinang.

"Mangsa yang maut di tempat kejadian adalah isteri pemandu berusia 36 tahun serta dua anak mereka berusia lima dan satu tahun.

"Suami mangsa berusia 36 tahun dan anaknya berusia dua tahun serta pembantu rumah warga Filipina cedera parah dan dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

Cemas!!! Enjin terbakar, Malindo Air berpatah balik


SHAH ALAM - Sebuah pesawat Malindo Air dalam perjalanan dari Subang ke Kuala Terengganu terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas kerana kebakaran enjin.

Dalam insiden jam 7.30 pagi itu, kesemua penumpang penerbangan, termasuk pasukan bola sepak Liga Super Terengganu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Malindo Air dalam satu kenyataan menyebut kejadian itu berlaku ketika pesawat itu mendaki pada ketinggian 7,000 kaki.

"Sistem pengesan kebakaran diaktifkan dan krew operasi serta-merta melaksanakan semakan kecemasan seperti prosedur operasi standard dalam situasi ini," kenyataan itu dipetik.