Wednesday, 9 October 2013

Isteri Dilarikan Depan Suami Dan Dir*g*l

Kuala Lumpur: Marahkan suami, isteri jadi mangsa. Itulah nasib malang menimpa seorang wanita apabila diculik dan dirogol oleh samseng yang diupah lelaki yang marah serta berdendam dengan suaminya.Mangsa yang berusia 28 tahun diculik ketika menikmati hidangan di restoran di Setapak, di sini, jam 3 pagi Ahad lalu, sebelum dirogol di satu kawasan hutan di pinggir ibu negara.

Sumber polis berkata, ketika mangsa asyik menjamu selera bersama suami dan keluarga mentuanya empat lelaki berpakaian serba hitam serta bersenjatakan parang dipercayai samseng upahan menghampirinya.“Empat lelaki berusia 30-an itu nekad melarikan mangsa di depan suami dan keluarga mentuanya. Walaupun, ada cubaan menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana suspek bersenjatakan parang.

“Malah, seorang daripada suspek mengacukan parang di leher suami mangsa yang berusia 30-an,” katanya, semalam. Menurutnya, keempat-empat lelaki terbabit mengikat mata dan tangan mangsa sebelum mengheretnya masuk ke dalam kereta, lalu dibawa pergi.

Sumber itu berkata, ketika di dalam kenderaan mangsa menangis dan merayu minta dibebaskan, namun tidak diendahkan suspek, malah mangsa diancam untuk dicederakan dengan parang.

“Empat penjenayah itu membawa mangsa ke kawasan hutan dan di situ mangsa diserahkan kepada seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang penculikan itu. “Lelaki terbabit yang mengupah suspek menculik mangsa kemudian merogolnya. Selepas itu dia dengan selamba berkata menculik dan merogol mangsa kerana berdendam dengan suami mangsa,” katanya.

Menurutnya, selepas itu mangsa dibawa semula menaiki kereta oleh empat suspek yang menculiknya ke lokasi lain, tetapi di dalam perjalanan itu mangsa membuat helah mahu membuang air kecil. Sumber itu berkata, apabila mangsa dibenarkan keluar kereta di satu perhentian rehat, seorang daripada penculik itu memberitahu dia kasihankan mangsa dan menyuruh mangsa melarikan diri.

“Mangsa meloloskan diri jam 9 malam hari sama. Dia dibantu sepasang suami isteri di hentian rehat itu dan dibawa ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan kejadian,” katanya.


Harian Metro difahamkan, kes terbabit dirujuk kepada polis daerah Kajang untuk siasatan lanjut memandangkan mangsa dipercayai dirogol di lokasi dalam daerah itu.

Kekasih dibakar & dicampak dalam perigi


ALOR GAJAH – Akibat merampas kekasih orang lain, seorang wanita warga Indonesia dibunuh dan mayatnya dicampak ke dalam perigi sebelum dibakar di ladang tembikai susu, Solok Menggong di sini.

Mayat Endang Mariani Muhammad Rau, 28, hanya ditemui selepas tiga hari oleh pemilik ladang berkenaan kira-kira 6.30 petang kelmarin selepas terhidu bau busuk berdekatan kawasan kejadian.

Wanita dari Lombok Barat, Indonesia itu dipercayai dibunuh oleh suspek yang cemburu, setelah mangsa menjalin hubungan sulit dengan lelaki berusia 30-an .

Selain itu, mangsa dikatakan membawa tinggal kekasihnya itu di rumah yang juga kebetulan didiami suspek.

Suspek berusia 29 tahun kemudian bertindak keluar dari rumah berkenaan namun pada masa sama dipercayai merancang untuk membalas dendam hingga membawa kepada pembunuhan mangsa yang bekerja di ladang cendawan, Bukit Hantu, Lendu.

Menurut sumber, dipercayai gara-gara cemburu dengan hubungan itu, mangsa dibunuh di rumah tersebut pada Jumaat lalu sebelum dibawa ke ladang berkenaan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Viva milik lelaki tempatan dan dicampak ke dalam perigi sedalam lima meter sebelum dibakar menggunakan kayu dan petrol sehingga rentung,” katanya, menurut sumber Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada seorang wanita yang juga pemilik ladang berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mayat wanita yang rentung 90 peratus sehingga tinggal tulang dan tengkorak itu dipercayai dibakar di dalam perigi berkenaan selepas dibunuh di tempat lain.

“Susulan kejadian, kurang 12 jam penemuan mayat, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun bersama seorang lagi wanita Indonesia berusia 29 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Semabok dan Rembia,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Umar berkata, tiga lelaki Indonesia dan wanita yang ditahan antara jam 1 dan 8 pagi semalam adalah rakan serumah mangsa, manakala lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu adalah kenalan semua suspek.

“Mangsa bekerja di ladang cendawan di Lendu dan Ahad lalu majikannya ada membuat laporan berhubung mangsa yang tidak datang bekerja disyaki melarikan diri.

“Siasatan mendapati cemburu antara suspek wanita dan si mati menjadi motif pembunuhan berkenaan.

“Si mati dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang lelaki warganegara sama yang ditahan,” katanya.

Menurutnya, penangkapan kelima-lima suspek telah hampir berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya kini masih memburu seorang lelaki juga warga Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Kemalangan ngeri motor hancur terbakar

Gambar-gambar kemalangan ngeri dibawah dikongsikan dalam satu forum cari. Menurut sumber kemalangan berlaku di Simpang Parit Sakai, Jalan Temenggong Ahmad, Muar Johor. Kemalangan dikatakan berpunca daripada lori muatan tanah dan juga berikutan jalan yang sempit di kawasan itu.

Dua penunggang motorsikal maut di tempat kejadian kerana pendarahan dalaman. Motorsikal yang ditunggang turut hancur terbakar. Penduduk kampung juga memaklumkan kemalangan maut sering kali berlaku di jalan raya di kawasan mereka

Takziah kepada keluarga mangsa...