Wednesday, 5 March 2014

Gadis 13th dipaksa jadi GRO


MELAKA - Seorang gadis warga Vietnam berusia 13 tahun yang dipaksa menjadi pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini, diselamatkan polis dalam Ops Noda tengah malam semalam.

Serbuan jam 12.30 tengah malam itu dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Bukit Aman jam 12.30 tengah malam itu turut menahan 34 GRO warga asing selain tiga warga tempatan termasuk pengurus pusat hiburan terbabit.

Ketua Unit D7 Bukit Aman Asisten Superintendan Sharulnizam Jaafar berkata, 32 GRO yang ditahan membabitkan warga Vietnam, manakala tiga lagi warga Indonesia berusia antara 13 hingga 32 tahun.

“Siasatan polis mendapati GRO terbabit didapati mempunyai pasport lawatan, namun menyalahgunakannya untuk bekerja di pusat hiburan terbabit.

“Selain GRO terbabit, 65 pelanggan pusat hiburan itu turut diperiksa dan siasatan mendapati pusat hiburan itu tidak mempunyai lesen,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, gadis berusia 13 tahun yang diselamatkan itu diletakkan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 – ATIP (Pindaan) 2010 dan Akta Imigresen, lapor Hmetro.

Menurutnya, pengusaha pusat hiburan itu melakukan kesalahan di bawah ATIP dan menggunakan khidmat GRO warga asing dan semua mereka dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

Lelaki baling Al-Quran ditahan


KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kejadian membaling Al-Quran di sebuah masjid di Besut.

Lelaki yang dipercayai pesakit mental itu didakwa bertanggungjawab membaling kitab suci umat Islam ke dalam tandas dalam kejadian pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Besut pada pukul 5 petang Selasa berdasarkan imej yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Dengan penangkapan lelaki terbabit kita menganggap kes ini selesai dan kami berharap ia juga akan menghentikan spekulasi tidak berasas di media sosial oleh kumpulan-kumpulan yang ingin menghasut kebencian,” kata Jamshah pada sidang akhbar, lapor mStar.

Polis maut diserang warga asing


KLANG - Seorang anggota polis dari dari unit kereta peronda maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang dua lelaki dipercayai warga Indonesia, dalam satu kejadian di Taman Sentosa, di sini awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Selasa, dua anggota polis itu dipercayai diserang suspek berkenaan ketika mereka sedang membuat rondaan di Lorong Yusuf Shahbuddin 44D, Taman Sentosa.

Kedua-dua anggota polis itu terserempak dengan lima lelaki disyaki warga Indonesia sebelum berlaku pergelutan ketika sedang membuat pemeriksaan.



Seorang angggota polis berkenaan maut ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Rakan setugasnya kini sedang dirawat di hospital sama.

Kedua-dua suspek itu berjaya ditembak mati, lapor mStar.