Monday, 10 March 2014

Jari kanak-kanak tersepit pada tombol pintu



TANJUNG MINYAK - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam apabila jari telunjuk kanannya tersepit dan melekat pada tombol pintu utama rumah yang tercabut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, El Nayli Uzma Kamaruddin, 8, dikatakan membuka pintu utama rumahnya di Taman Tanjung Minyak Jaya, di sini, untuk menjemput bapanya, Kamaruddin Ismail, 36, yang bekerja di Hospital Mahkota.

Ibu mangsa, Norzali Hanim Jantan, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas pelik melihat kelakuan anak keduanya itu yang tiba-tiba senyap ketika dia sedang mengambil baju yang tersidai di ampaian.

"Melihatkan perubahan Nayli, saya bertanya kepadanya apa yang terjadi selepas melihat perlakuannya seperti menyembunyikan sesuatu dan ketika itulah Nayli menunjukkan jari telunjuknya kanannya yang melekat pada tombol pintu yang tercabut.

“Pada mulanya saya terkejut dengan kejadian itu, tapi dapat mengawal perasaan cemas memandangkan Nayli kelihatan begitu tenang menghadapi situasi itu meskipun jarinya sudah mula membengkak,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cara dilakukan termasuk menggunakan air, minyak gamat dan losyen namun usaha itu tidak berjaya.

“Sewaktu melihat jarinya itu, saya hairan kerana ia basah dan Nayli memaklumkan bahawa sebelum itu dia cuba mengeluarkan jarinya dengan membasahkannya, namun usaha itu tidak berhasil.

“Selepas 15 minit berusaha, saya akhirnya menelefon suami dan memaklumkan mengenai kejadian itu. Suami saya meminta kami menjemputnya dahulu sebelum bergerak ke balai bomba bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kubu, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir berkata, mangsa datang ke balai melaporkan kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.

“Tujuh anggota bomba dengan menggunakan inovasi baru yang direka khas iaitu Fire Rescue Ring Cutter untuk mengeluarkan jari mangsa dari besi tombol berkenaan.

“Operasi itu berjalan dengan lancar kerana mangsa tenang memberikan kerjasama bagi mengeluarkan jari telunjuk kanannya yang tersepit dan ianya berakhir kira-kira 7.15 petang,” katanya.

Cari di perairan Pulau Pinang


Sepang: Siasatan terkini kehilangan pesawat MH370 mendedahkan bukti dan kemungkinan baru bahawa pesawat berkenaan cuba berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas radar milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan pergerakan pesawat itu.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud berkata, perkembangan terbaru itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat diperluaskan ke sekitar perairan Pulau Pinang.

Beliau berkata, ada kemungkinan bahawa pesawat berkenaan akan berpatah balik sekiranya ia tidak dapat meneruskan perjalanan.

"Buat masa ini, kami sudah periksa dengan khidmat radar daripada beberapa negara jiran berhubung penemuan pergerakan patah balik pesawat berkenaan.

"Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan di kawasan darat," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kerosakan daripada pesawat yang memaksa pesawat berkenaan berpatah balik.

"Berdasarkan siasatan kami, tiada sebarang hubungan dibuat antara pesawat dan pusat kawalan udara berhubung tindakan patah balik penerbangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya mengesahkan hanya dua identiti penumpang disiasat berhubung pemilikan pasport individu lain berbanding empat dilaporkan sebelum ini.

Katanya, pasukan penyiasat sedang meneliti rakaman sistem litar tertutup bagi mengesan dan mengenal pasti dua penumpang yang menggunakan pasport palsu itu.

Beliau berkata, lima lagi penumpang disahkan tidak menaiki pesawat MH370 ketika berlepas dan semua bagasi mereka telah dikeluarkan terlebih dahulu.

Sebelum ini dilaporkan warga Itali Luigi Maraldi dan Austria Christan Kozel didaftar menaiki pesawat MH370 tetapi hasil pemeriksaan kedutaan negara terbabit mendapati pasport mereka telah dipalsukan.

Sehingga kini, Jabatan Penerbangan Awam China mendakwa serpihan ditemui di koordinat 103.29 Timur 6.42 Utara di Laut China Selatan tetapi masih belum disahkan milik MH370 manakala pesawat APMM berjaya mengesan tompokan minyak di permukaan laut kira-kira 100 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Kesan tompokan kedua itu dikesan oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish ketika melakukan tinjauan udara dengan pesawat Agusta di kawasan seluas 200 batu nautika, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sampel tompokan minyak sudah diambil dan dijangka tiba di pangkalan maritim Tok Bali jam 7.30 malam nanti. - HMetro

Kemaskini: Kesemua perkembangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 boleh dirujuk di 

Sumber : MyMetro

Masih tidak jumpa MH370, serpihan dekat pulau Tho Chu bukan dari pesawat

Antara kapal yang menjalankan operasi mencari MH370. Sumber: APMM
KUALA LUMPUR: Setelah hampir 48 jam sejak Sabtu, pihak berkuasa Malaysia dan beberapa negara lain masih tidak dapat menemui pesawat MH370 yang hilang.

Dalam sidang media pada 8.15 malam tadi, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan operasi mencari dan menyelamat pesawat itu masih berjalan.

Katanya, kawasan operasi yang terlibat telah berkembang daripada 20 batu nautika kepada 50 batu nautika.





Ia melibatkan sejumlah 34 pesawat dan 40 kapal daripada Vietnam, China, Singapura, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Filipina, dan Australia.



“Mereka menjumpai objek (dekat pulau Tu Jo), tetapi ia bukan daripada bahagian pesawat,” Azharuddin menjawab soalan wartawan.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan bahawa pihak berkuasa Singapura telah menjumpai objek yang mencurigakan 100km daripada pulau Tho Chu di Vietnam.



Ditanya samada mendapat laporan yang mengatakan sebuah kumpulan dari China mendakwa mereka bertanggungjawab atas insiden kehilangan pesawat MH370, Azharuddin berkata: “Kita tidak tahu mengenai tuduhan ini, China tidak memaklumkan apa-apa.”



Ditanya mengenai perkembangan siasatan keatas pasport curi yang didakwa digunakan oleh penumpang, Azharuddin menegaskan fokus sekarang adalah tertumpu kepada operasi mencari dan menyelamat.

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/masih-tidak-jumpa-mh370-serpihan-dekat-pulau-tho-chu-bukan-dari-pesawat-31573?cp