Tuesday, 1 October 2013

Hans Isaac Kecewa David Teo Hina Filemnya


"Saya tidak kecewa apabila filem Lemak Kampung Santan (LKS) tidak mendapat sambutan di pawagam, tetapi saya lebih kecewa apabila membaca kenyataan David Teo semalam (kelmarin) dalam sebuah akhbar yang mengatakan Adnan Sempit 3 berjaya mengetepikan filem saya," ujar penerbit, pengarah dan pelakon, Hans Isaac ketika dihubungi Zass berhubung sambutan dingin penonton terhadap filem terbarunya, Lemak Kampung Santan.
Jelas Hans Isaac dan Neelofa yang digosipkan bercinta ini, ketika memaklumkan kepada wartawan dan peminat bahawa LKS akan disiarkan bersama filem Adnan Sempit pada hari raya pertama, dia tidak pernah sekali pun memberi sebarang komen terhadap filem terbitan MIG itu.

"Bagi saya kenyataan David Teo seperti memijak saya, apabila orang susah, kita mahu pijak lagi. Sebagai penerbit dia sepatutnya lebih profesional dan tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Apatah lagi sejak awal lagi, saya menghormati filem terbitannya dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan apabila ditanya mengenai saingan filem terbitan kami.

"Ia seolah-olah mahu menarik lebih ramai penonton menonton filemnya dan mengetepikan sahaja filem terbitan saya," kata Hans Isaac dengan marah dan hampir mengamuk.
Hans berkata, dia tidak kecewa apabila penonton tidak memilih LKS kerana hak menonton terletak di tangan penonton.

"Saya akui agak sedih kerana usaha saya selama dua tahun, tidak mendapat sambutan dan pelaburan saya sebanyak RM1.8 juta, hasil simpanan saya tidak mendapat pulangan.

"Tapi ini adalah perniagaan dan saya sebagai penerbit dan pengarah tidak ada hak untuk memaksa apatah lagi memarahi penonton andai mereka enggan menonton filem saya," ujarnya.
Menurut Hans, menyedari mesej dan hakikat bahawa filemnya itu tidak mendapat sambutan, dia tekad mengambil keputusan untuk berhenti menerbitkan sebarang filem selepas ini.

Ujar Hans, kini kecintaan dan pelaburannya dalam industri akan beralih kepada dunia pementasan teater.

"Terus terang saya kata, saya bukan merajuk. Tetapi rakan-rakan perniagaan saya menyedarkan saya bahawa tidak ada gunanya saya melabur dalam industri perfileman. Apatah lagi industri kita tidak kukuh.

"Jadi saya mahu mengikut jejak langkah Datin Seri Tiara Jacquelina, Erma Fatima, yang sudah beralih ke dunia pementasan teater. Saya juga akan mengikut jejak langkah Aziz M Osman, Afdlin Shauki yang juga sudah membuat keputusan untuk tidak lagi menerbitkan filem," katanya yang akan mementaskan teater Lawak Ke Der pada bulan Oktober ini, diikuti pementasan SuperMokh The Musical.

Hans berkata, sebagai penggiat industri seni, dia berharap kementerian membuka mata mengenai slot tayangan yang disiarkan pada waktu Maghrib.


"Antara punca lain kegagalan filem ini adalah waktu siaran yang saya dapat seperti waktu pagi, tengah hari dan juga ketika jam 7 malam, di mana ketika itu kita faham, umat Islam perlu bersolat Maghrib.


"Berbanding filem lain yang mendapat waktu tayangan puncak seperti waktu petang, malam dan juga tengah malam. Jadi saya minta kerajaan atau ketua pengarah membuat sesuatu agar permasalahan ini dapat diatasi," ujarnya.
sumber : SinarHarian.

No comments:

Post a Comment