Kuala Lumpur – Seorang isteri yang menjalin hubungan sulit dengan lelaki Bangladesh bertindak ganas terhadap suaminya apabila membelasah lelaki itu dengan topi keledar selepas dia ditangkap basah suaminya dalam kejadian berdekatan Pasar Seni di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, suami wanita terbabit cedera di muka akibat dibelasah dengan topi keledar oleh wanita berusia 38 tahun dan sudah mempunyai tiga anak itu.
Sumber polis berkata, ketika kejadian suami wanita berkenaan yang bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota sedang bekerja dan kesempatan itu digunakan wanita terbabit untuk keluar bersama teman lelakinya.
Menurutnya, wanita berkenaan dan pasangannya dipercayai beberapa bulan menjalin hubungan sulit dan sering berjumpa ketika suaminya bekerja.
“Pada hari kejadian pasangan itu berjalan-jalan di Pasar Seni sebelum ke sebuah hotel bajet berdekatan tanpa sedar mereka diekori suami wanita itu.
“Suaminya mengekori pasangan itu hingga ke bilik hotel sebelum memberi kejutan kepada mereka dengan masuk ke bilik,” katanya.
Katanya, akibat malu dengan tindakan isterinya, suami wanita berkenaan memarahi pasangan berkenaan menyebabkan wanita itu bertindak ganas.
Menurutnya, wanita itu tanpa belas kasihan membelasah suaminya dengan topi keledar hingga lelaki itu cedera di muka sebelum melarikan diri bersama teman lelakinya.
Susulan kejadian itu, suami wanita berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut.