Wednesday 11 September 2013

Ahli Geng Samseng Diberkas Polis

TAMPIN – Empat lelaki dipercayai ahli Geng 04 diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dengan kerjasama anggota cawangan jenayah IPD Jempol di Jalan Pasar, Pekan Bahau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pembabitan suspek berusia lingkungan 22 hingga 23 tahun itu dalam kumpulan berkenaan berdasarkan tatu tertera di badan suspek.

Menurutnya, suspek ditangkap kira-kira jam 1.45 pagi selepas meragut rantai emas membabitkan seorang wanita berusia 36 tahun kira-kira 10.40 malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Seri Gemas.

“Ketika kejadian mangsa yang baru sahaja pulang dari bekerja di sebuah pam minyak di pekan berkenaan ingin membeli burger dan sedang menunggu pesanan burgernya siap, sementara suaminya berusia 45 tahun menunggu dalam kereta.

“Bagaimanapun, tiba-tiba salah seorang dari dua lelaki yang berjalan kaki ke gerai berkenaan tiba-tiba meragut rantai mangsa dan berlaku pergelutan. Mangsa memegang tangan suspek, namun suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mencederakan tangan mangsa,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan IPD Tampin, di sini, semalam.

Kooi Cheang berkata, susulan kejadian itu suami mangsa sempat melihat dua lelaki berkenaan melarikan diri ke arah simpang jalan berdekatan di mana terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah sedang menunggu kedua-dua suspek berkenaan.

“Suspek berjaya meragut separuh dari rantai emas berkenaan berserta loket berbentuk ikan bernilai RM1,900. Bagaimanapun, mangsa yang masih lagi memegang separuh dari rantai lehernya mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kiri sehingga hampir putus.

“Suami mangsa bergegas membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemas. Mangsa dikejarkan ke Hospital Segamat, Johor dan menerima rawatan lanjut. Bagaimanapun, dua jari mangsa cacat kekal susulan urat jari berkenaan putus dicederakan suspek berkenaan,” katanya.

Kooi Cheang berkata, bertindak atas maklumat jenis kereta yang digunakan, pasukan polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik berjaya menangkap kesemua suspek.

“Kita merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang merupakan kereta salah seorang daripada empat suspek berkenaan. Malah, semasa tangkapan dibuat kita turut menemui pisau yang disimpan di bawah tempat duduk belakang dan juga baju yang mempunyai kesan darah di atas tempat duduk bahagian belakang.

“Bagaimanapun, suspek mendakwa rantai yang diragut tadi tercicir semasa mereka melarikan diri. Hasil saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek yang beralamat di Bahau berkenaan mendapati tiga daripadanya positif dadah,” katanya. – SH

No comments:

Post a Comment