Wednesday, 11 September 2013

Kegembiraan dua beradik berakhir tragedi

PADANG BESAR – Kegembiraan dua beradik mandi sungai bersama rakan berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas di Sungai Abi, Padang Melangit, kelmarin.

Mangsa, Affiq Uzzair Mahamad Rezduan, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit ditemui lemas apabila kaki kanannya tersangkut pada pintu kunci air Belat Tok Badet, sungai tersebut.

Menurut adik mangsa, Azim Mustaqim, 10, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, abangnya mahu menyukat kedalaman air sungai dengan bergayut pada konkrit kunci air sebelum kakinya tersepit.

“Apabila kaki tersepit, dia lepas tangan dan terjun ke dalam sungai untuk keluarkan kakinya dari celah kunci air itu, tapi arus sungai sangat deras.

Saya nampak abang meronta- ronta sambil meminta tolong.

“Saya dengar dia panggil ayah untuk minta tolong.

Saya serta rakan lain tergamam melihat abang dan tak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Jaafar, di sini, semalam.

Selepas beberapa minit, Azim melihat abangnya sudah tidak menggelupur dan mereka segera meminta pertolongan orang kampung untuk melepaskan abangnya dari celah konkrit tersebut.

Sementara itu, bapa tiri mangsa, Saad Daud, 50, berkata, Affiq sepatutnya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, namun sikapnya berubah sejak kelmarin apabila melakukan aktiviti yang dia tidak minat sebelum ini.

Kata Saad, pada sebelah pagi, Affiq pergi memancing di kawasan sawah berhampiran sedangkan dia tidak pernah memancing sebelum ini.

“Kemudian pada sebelah petang lebih kurang jam 4 petang saya tengok dia keluar rumah semula menaiki basikal tapi saya tak tanya apa-apa sebab saya ingatkan dia nak ke sekolah ataupun ke kafe siber.

“Tapi tak sampai sejam ada orang kampung datang rumah beritahu dia lemas di sungai itu,” katanya.

Selepas dimaklumkan kejadian itu, Saad terus ke sungai bersama beberapa penduduk kampung untuk mengeluarkan mangsa.

“Saya tak sangka dia akan mandi di sungai itu sebab sebelum ini dia tak pernah pun menyertai adiknya mandi sungai.

“Anak saya sudah tak bernyawa apabila dia berjaya dikeluarkan dari konkrit tersebut,” kata Saad yang berkahwin dengan ibu mereka Norazlina Samsudin, 32, sejak lapan tahun lalu.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Penghulu Jaafar, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros ketika ditemui mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tidak melibatkan sebarang unsur jenayah. – SH

No comments:

Post a Comment