Sunday, 23 June 2013

Kemalangan 2 Jentera Bomba - Rugi RM40000

TELUK INTAN - Angkara sebuah kereta rosak di tengah jalan, misi memadamkan kebakaran di Kampung Esso, di sini, terjejas apabila dua jentera bomba dan penyelamat berlanggar sesama sendiri.
Akibat kejadian itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan manakala lapan anggota lain selamat dalam kejadian tengah hari, semalam.
Mangsa, Mohd Hafiz Abdul Rahman, merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan cedera di bahagian kaki apabila jentera yang dinaikinya itu merempuh jentera di hadapannya.Kejadian berlaku di kilometer 1, Jalan Changkat Jong, berhadapan bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 50 meter dari pasar raya terkemuka.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.59 tengah hari semalam itu kedua-dua jentera berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Esso selepas menerima panggilan kecemasan beberapa minit sebelum itu.Seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kedua-dua jentera berkenaan bergegas keluar dari balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang hanya 200 meter dari tepat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu jentera di hadapan yang dinaiki tiga anggota tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas terlihat sebuah kereta jenis Nissan Sunny di hadapan yang tidak bergerak dipercayai rosak dan ditinggalkan di situ.
“Sebaik menekan breknya itu, jentera dinaiki enam anggota yang mengekorinya di belakang itu tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jentera hadapan,” katanya.
Jentera bomba terbabas, rempuh pokok. Katanya, rempuhan tersebut mengakibatkan jentera di hadapan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahagian tepi kiri jalan manakala jentera di belakangnya terhenti pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.
Menurutnya, jentera di hadapan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang manakala jentera belakang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.Minta bantuan bomba lain. Beliau berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk membantu memadamkan kebakaran di kampung berkenaan.Kejadian itu telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Changkat Jong menghala ke pusat Bandar Teluk Intan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.
Warga emas nyaris rentung. Manakala, mangsa kebakaran di Kampung Esso, di sini, semalam, nyaris rentung apabila rumah yang didiami bersama suami dan seorang anak hangus dalam kejadian berkenaan.Mangsa, Siti Asiah Salleh, 67, sendirian ketika kejadian berlaku, terselamat daripada rentung apabila diselamatkan jirannya. Suami mangsa, Saibani Mohd Khairan, 60, berkata, ketika kejadian dia mengisi minyak pada motosikal manakala anaknya keluar makan bersama-sama rakannya.


Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang memberitahu rumah mereka sedang terbakar sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.20 minit tunggu bantuan. Saibani berkata, sebaik dihubungi, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati isterinya berada di rumah jiran sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan manakala sebahagian rumah yang berusia lebih 20 tahun itu sudah habis terbakar.
“Saya bersama anak dan beberapa jiran cuba untuk memadam kebakaran itu tetapi tidak berupaya kerana api semakin marak.
“Kami menunggu bantuan dari pihak bomba tetapi sudah hampir 20 minit namun, bantuan tidak sampai-sampai menyebabkan saya buntu kerana keseluruhan rumah kami hangus terbakar,” katanya.
Saibani berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu sebuah kereta peronda polis tiba dan memaklumkan bahawa kedua-dua jentera Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian terlibat dalam satu kemalangan sesama sendiri.
Menurutnya, dia yang sedih apabila dimaklumkan berkenaan kemalangan melibatkan jentera bomba itu.Kerugian lebih RM40,000
Saibani berkata, dia dan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa sehingga bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang tiba.
Menurut Saibani, walaupun harta bendanya musnah namun dia rasa bersimpati terhadap anggota-anggota bomba yang terlibat dalam kemalangan itu lebih-lebih lagi ketika sedang dalam perjalanan untuk membantu menyelamatkan rumahnya.
“Selain harta benda termasuk peralatan elektrik dan perabot musnah, tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran itu.
“Jumlah kerugian di anggarkan lebih RM40,000 dan katanya punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.m
y

No comments:

Post a Comment