Sunday 29 September 2013

Pasangan khalwat enggan buka pintu bilik


BATU PAHAT – “Saya tidur nyenyak sebab penat, bukan tak nak buka pintu,” kata seorang lelaki kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, dalam satu operasi awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu, penguatkuasa Jaij terpaksa menunggu hampir satu jam apabila pasangan berkenaan enggan membuka pintu bilik hotel tempat mereka bermalam.

Selepas beberapa kali pintu bilik berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguatkuasa mendesak untuk memecah masuk, barulah pasangan terbabit membuka pintu.

Timbalan Penguatkuasa daerah, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, sebaik pintu bilik berkenaan dibuka, didapati terdapat sepasang kekasih berusia 20-an, dalam ketakutan.

“Pemeriksaan mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan sah dan dipercayai berkhalwat kerana berkurung,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Saiful Ariffin berkata, pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 27 (1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

Menurutnya, pasangan berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai, dan operasi ini dilakukan untuk memberikan pengajaran terutama kepada golongan muda.

“Tumpuan akan diberikan di hotel bajet, rumah tumpangan dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan sumbang itu, selain ia akan dilakukan dengan lebih kerap,” katanya.

No comments:

Post a Comment