Sunday, 29 September 2013

Wanita misteri hilangkan diri


SUNGAI NIBONG – Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.

No comments:

Post a Comment