Sunday 29 September 2013

Maut selepas dipukul dan ditetak


JOHOR BAHRU – Seorang pengurus kilang maut selepas dipukul dan ditetak oleh dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan kilangnya di Taman Gembira, di sini semalam.

Mangsa, Lau Teck Hock, 44, dipercayai berada di luar kawasan pejabat di kilang berkenaan sekitar jam 1 petang sebelum diserang lelaki terbabit yang memakai topi keledar.

Teck Hock ditetak beberapa kali oleh dua lelaki itu, selain dipukul pada bahagian kepala menggunakan parang sebelum suspek meninggalkan lokasi kejadian dengan motosikal.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah sempat merangkak ke pejabat untuk meminta bantuan dan kemudiannya disedari pekerjanya.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia sebelum ambulans tiba susulan daripada kecederaan dialami.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, polis masih melakukan siasatan berhubung motif kejadian.

“Polis menolak wujudnya unsur rompakan kerana tiada barang mangsa dicuri ketika serangan terbabit.

“Kes disiasat kejadian ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi dan mengesahkan kejadian, di sini semalam, menurut sumber Sinar Harian.

Abdul Samad berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil menghubungi polis atau hadir ke balai berdekatan.

No comments:

Post a Comment