Thursday, 2 January 2014

Sambutan tahun baharu dicemari aktiviti maksiat

Kesemua yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena tahun baharu awal pagi semalam.

SUNGAI PETANI - Acara sambutan Tahun Baru 2014 di daerah ini disambut dengan cara sederhana berkonsepkan Islamik anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) bertujuan mengajak remaja Islam mendekatkan diri ke arah matlamat hidup yang jelas seiring dengan tuntutan agama.

Bagaimanapun, saranan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan itu hanya dipedulikan sebahagian kecil masyarakat yang menghayati nasihat menerusi forum agama yang diadakan di Dataran Zero Kilometer sedangkan sebilangan kecil lagi masih terjebak ke lembah maksiat.

Operasi cegah maksiat

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abd Mutalib yang mengetuai operasi cegah maksiat berkata, sebanyak lima pasangan kekasih dicekup sekitar Sungai Petani manakala dua pasangan lagi dicekup di sekitar Gurun.

Operasi yang turut mendapat kerjasama 30 anggota penguatkuasa dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Yan serta MPSPK itu juga mengesan empat individu didapati positif dadah.

Tukang urut kena cekup

Dalam sebuan yang dilakukan dekat sebuah motel berdekatan Taman Patani Jaya, seorang wanita Melayu berusia 32 tahun dipercayai tukang urut sedang melayan pelanggannya iaitu pemandu teksi dari Butterworth bukan beragama Islam berusia 52 tahun.

Ketika diserbu, lelaki warga emas berkenaan yang disyaki kekasihnya turut mengakui pernah ditahan dalam serbuan berlainan dengan pasangan sama di Pulau Pinang pada 2012.
Wanita tersebut yang diminta menjalankan ujian air kencing, disahkan positif dadah.

Sementara itu, sepasang kekasih berusia 26 dan 29 tahun yang dicekup, mengaku sudah berkahwin namun gagal mempamerkan dokumen pernikahan yang sah.

Mereka yang diambil keterangan secara berasingan oleh penguatkuasa kemudian gagal mengesahkan tarikh pernikahan setelah disoal siasat di lokasi berasingan.

Ujian air kencing ke atas kedua-dua pasangan kekasih tersebut, mendapati wanita berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah pasaraya di Sungai Petani itu positif dadah.

Seperti suami isteri

Operasi kemudian diteruskan ke sebuah hotel bajet dekat Taman Ria Jaya mendapati sepasang kekasih sedang nyenyak tidur dalam keadaan berpelukan seolah-olah seperti pasangan suami isteri.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, bilik yang dihuni pasangan terbabit tidak berkunci.

“Anggota penguatkuasa yang membuat pemeriksaan mendapati, wanita dari Taman Sejati yang hanya berseluar dalam dan menyarungkan baju-T sedang berpelukan di atas katil bersama kekasihnya berusia 27 tahun dikatakan berasal dari Kelantan dan bekerja di Shah Alam.

“Apabila disoal siasat mendapati kedua-duanya bukan mahram dan mengakui sudah bermalam di bilik berkenaan sejak empat hari lalu,” katanya.

Katanya, kesemua enam pasangan (kecuali lelaki bukan beragama Islam) yang berada dalam keadaan bersekedudukan, bersembunyi atau bersama wanita bukan mahram ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

Menurutnya, hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.

Mak andam jalin hubungan terlarang

Menurutnya, operasi turut diperluaskan ke sekitar Gurun yang bertumpu di lokasi panas yang sering mendapat aduan penduduk. Dalam serbuan di sebuah hotel bajet mendapati pasangan sejenis yang dipercayai menjalinkan hubungan terlarang ditahan dalam operasi berkenaan.

Mak andam berusia 31 tahun dari Jitra itu mendakwa memiliki tiga buah butik pengantin dan baru sahaja selesai menyolek pelanggan yang akan menghadiri sebuah majlis makan makan.

“Dikatakan akibat letih, dia yang ditemani ‘kekasihnya’ terpaksa bermalam di bilik hotel tersebut berikutan mempunyai tugasan perniagaan lain keesokan pagi di lokasi berdekatan,” katanya.

Soal siasat kepada kedua-duanya mengakui menjalinkan hubungan terlarang itu sejak 2004.

Bagaimanapun, saringan air kencing juga mendapati, kedua-duanya positif dadah dan dibawa ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, beberapa pasangan yang ditemui dalam keadaan mencurigakan di beberapa lokasi panas turut diberi amaran oleh anggota penguatkuasa.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment