Monday, 7 October 2013

Kegembiraan 18 penuntut bertukar tragedi


BESUT – Kegembiraan sekumpulan 18 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mandi-manda di Air Terjun Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut, bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka lemas, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang ketika mangsa, Janarthen Umabathy, Vikneswaran Balakrishnan dan Mohana Raj Mathandra mandi di tingkat ketujuh yang merupakan kawasan perkelahan paling tinggi di air terjun berkenaan.

Semua mangsa berusia 22 tahun itu adalah penuntut tahun tiga kursus Teknologi Bio Industri UMK kampus Jeli, Kelantan.

Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Kalai Selvan, 22, berkata, mereka mendaftar di hutan lipur itu pada jam 10 pagi sebelum mendaki ke tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, pada awalnya mereka bercadang mandi di tingkat kedua, namun mangsa mengajak mereka naik ke tingkat lebih tinggi.

“Sampai di tingkat ketujuh berjarak 1.5 kilometer dari kaki bukit, kami terus mandi. Kami berpecah dan duduk dalam beberapa kumpulan. Namun, mereka bertiga tiba-tiba pergi ke arah air terjun sebelum lemas,” katanya, di sini, hari ini.

Kalai berkata, dia dan rakan-rakan cuba membantu, tetapi arus deras dan air dalam menyebabkan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Menurutnya, dia kemudian turun ke tapak perkelahan di tingkat bawah untuk menghubungi pasukan penyelamat.

Dua ditemui terapung, seorang di dasar sungai

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mayat Vikneswaran yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dan Janarthen dari Ipoh, Perak, ditemui terapung kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, kira-kira jam 2.20 petang.

“Manakala, mayat Mohana Raj ditemui pasukan skuba JPAM serta bomba dan penyelamat di dasar air terjun sedalam kira-kira enam meter, kira-kira jam 4.27 petang,” katanya.

Beliau berkata, mayat Vikneswaran dibawa turun pasukan penyelamat dan orang ramai di pejabat pentadbiran hutan lipur pada jam 4 petang, manakala Janarthen sejam kemudian.

Sementara itu, katanya, mayat Mohana Raj pula dibawa turun pada jam 6 petang sebelum semua mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Operasi ini membabitkan pasukan penyelamat terdiri daripada bomba dan penyelamat termasuk unit skuba, JPAM, kakitangan Pejabat Perhutanan dan orang awam,” katanya.

Kes pertama tahun ini

Sementara itu, Renjer Hutan Kanan, Pejabat Perhutanan Besut, Maliki Ismail berkata, kejadian itu adalah kes lemas pertama tahun ini dan lazimnya berlaku di tingkat tiga serta empat.

Menurutnya, pelajar terbabit mendaftar di Pusat Hutan Lipur Lata Tembakah sebelum naik ke tempat kejadian.

“Setakat hutan lipur ini dibuka, kejadian hari ini pertama kali berlaku babitkan tiga mangsa lemas kerana sebelum ini, seorang dua sahaja,” katanya.

Maliki juga berkata, pengunjung tidak digalak mandi di situ kerana agak jauh dari tempat perkelahan lain, malah papan tanda amaran kedalaman paras air turut dipasang.

Dalam pada itu, usaha menurunkan mangsa terakhir difahamkan memakan masa lama kerana saiz badan agak besar.

Kejadian lemas terakhir dicatatkan berlaku di Lata Tembakah pada 9 Oktober tahun lalu babitkan seorang lelaki di tingkat ketiga, menurut sumber Sinar Harian.

Tahun lalu sahaja, dua mangsa maut dan semuanya adalahpengunjung dari luar daerah.

No comments:

Post a Comment