Wednesday, 16 October 2013

Kanak- kanak maut jatuh tangga


Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun bermain-main di tingkat dua rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas terjatuh dari tangga dalam kejadian di Bukit Belimbing di sini semalam.

Kejadian pada pukul 11 pagi itu mengakibatkan Muhammad Fadhli Zil Ikram maut ketika dia dikejarkan ke Hospital Kajang selepas jantung dan hatinya mengalami kecederaan parah. Bapa mangsa, Mohmad Afandi Saim, 27, memberitahu, sebelum kejadian anak sulung daripada dua beradik itu dibiarkan bermain-main bersendirian.

Katanya, ketika itu, isterinya, Zuliza Sahari, 28, sedang melakukan kerja-kerja rumah di aras bawah manakala dia pula sudah keluar membaiki lori di sebuah bengkel di sini sejak pukul 9 pagi. Mohmad Afandi kemudian terkejut apabila menerima panggilan daripada isterinya yang memberitahu Muhammad Fadhli terjatuh dari tangga di tingkat atas.

Pemandu lori itu berkata, sebaik dia tiba di rumah, anaknya itu berada dalam keadaan terkulai dipeluk ibunya sebelum mangsa kemudian dibawa hospital. "Isteri memberitahu, anak saya jatuh berguling-guling dari tangga di tingkat dua yang mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter," katanya ketika ditemui di Hospital Serdang semalam.

Ujar Mohmad Afandi, doktor yang melakukan bedah siasat mendapati, jantung anaknya terkoyak manakala hatinya pula rosak teruk kesan daripada hentakan ketika terjatuh. Pada sebelah pagi sebelum tragedi itu, Mohmad Afandi memberitahu, anak sulungnya itu banyak merengek dan meminta dia membeli mainan dan ayam KFC.

"Saya memang bercadang membeli ayam KFC untuk Muhammad Fadhli tetapi sayangnya dia tidak sempat makan," kata Mohmad Afandi.

- KOSMO

No comments:

Post a Comment