Sunday 1 September 2013

Perompak larikan lebih RM600,000


KOTA BHARU – Sekumpulan penjenayah melarikan wang tunai sebanyak RM667,906 selepas memecahkan tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Chabang Tiga Pengkalan Chepa, pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kejadian kira-kira 3 pagi itu berlaku setelah suspek masuk ke kawasan yang menempatkan ATM itu melalui bumbung belakang bangunan.

“Penjenayah memotong jeriji besi pintu bangunan dan memotong mesin ATM dengan menggunakan gas oxy (Oxy-Acetylene).

“Kami percaya ia dilakukan oleh golongan profesional yang mempunyai kemahiran memecah mesin ATM dengan menggunakan gas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata penjenayah bagaimanapun tidak memecahkan mesin deposit tunai (CDM) di situ.

Mazlan berkata polis menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti penjenayah melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam bangunan itu dan kedai-kedai berdekatan.

“Maklumat orang awam amat diperlukan… penjenayah yang memecah mesin ATM ini dipercayai datang ke kawasan ini menaiki kereta.

“Saya juga mengharapkan supaya pihak bank terus melaporkan kepada kami jika terdapat bangunan kosong di kawasan sekitar premis mereka,” katanya.

Sehingga Ogos lepas, tiga kejadian berkaitan samun mesin ATM berlaku di Pasir Mas dan Pengkalan Chepa. – Bernama/ABN

No comments:

Post a Comment