Monday 30 September 2013

12 ditahan di Kampung Hakka


SEREMBAN – Seramai 12 individu yang terdiri daripada ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), aktivis NGO Jerit dan penduduk kampung ditahan polis di Kampung Hakka, Mantin di sini apabila hampir 200 penduduk kampung tersebut cuba menghalang pemaju merobohkan kediaman mereka.

Antara yang ditahan termasuk Setiausaha PSM, S Arutchelvan dan Setiausaha PSM Seremban, S Tinagaran. Daripada 12 individu tersebut, sekurang-kurangnya dua adalah wanita.

Kesemua mereka ditahan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.

Penduduk kampung bersama-sama dengan ahli PSM dan aktivis Jerit sudah berkumpul sejak awal jam 8.00 pagi.

Penduduk menghalang pemaju membawa masuk jentera dengan meletakkan kenderaan dijalan masuk ke rumah-rumah penduduk kampung.

Pasukan polis juga tiba untuk mengawal keadaan termasuk pasukan ‘Light Strike Force’ (LSF).

Lebih kurang pukul 10.00 pagi, Arutchelvan dan penduduk kampung berunding dengan Pegawai Bailiff Mahkamah Tinggi Seremban, Adzahari Ramli.

Dakwa pemaju gagal

Arutchelvan berkata bahawa pemaju gagal memberikan notis yang secukupnya kepada penduduk kampung untuk mengosongkan rumah.

“Walaupun mahkamah memutuskan bahawa penduduk kampung harus mengosongkan rumah, tetapi pemaju gagal memberikan notis yang secukupnya.

“Pemaju hanya memberi notis pada 25 September dan sepatutnya pemaju hanya boleh merobohkan rumah penduduk kampung bermula 2 October ini

“Penduduk kampung juga telah memfailkan ‘perintah penggantungan pelaksanaan’ (stay of execution) di Mahkamah Tingi Seremban dan kes tersebut akan didengar pada 17 Oktober ini,” jelas Arutchelvan.


Walaubagaimanapun Adzahari ingin berbincang dengan peguam penduduk iaitu Siow Kim Leong di mana ketika itu peguam pemaju Sharif Mohamad turut serta dalam perbincangan tersebut.

Adzhari memberikan masa hinggga pukul 11.00 pagi untuk memberi masa kepada Siow hadir untuk mengadakan perbincangan.

Walaubagaimanapun Siow yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Lobak untuk kali pertama terpaksa menghadiri Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Yang
D iPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kakitangan Tenaga Nasional sudah tiba untuk memutuskan bekalan elektrik ke dua buah rumah. Jentera untuk merobohkan rumah juga berada di sekitar lokasi tersebut.

Rantai manusia

Penduduk kampung mula menghalang dengan membuat rantai manusia dihadapan dua buah rumah tersebut.

Keadaan menjadi tegang dan kecoh apabila penduduk kampung berusaha menghalang usaha pihak polis menyuraikan mereka.

Apabila penduduk kampung ingkar untuk bersurai, pihak polis terpaksa menahan beberapa penduduk kampung.

Seorang penduduk kampung Yong Kai Hong, 46, mendakwa polis bertindak kasar dan isteri beliau Cheng Pit Kee, 42, patah bahu kiri.

Seorang lagi penduduk kampung, Lee Kam Hua, 60, pula mendakwa cedera di kening kiri dan lengan kiri kerana kekasaran polis.

Kesemua 12 individu yang ditahan di bawa ke Balai Polis Mantin untuk siasatan.

Sementara itu lebih kurang pukul 11.35 pagi, Siow bersama Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Loke Siew Fook
(DAP) dan beberapa lagi ADUN Pakatan Rakyat tiba di lokasi kejadian.

Siow dan Loke mengadakan perbincangan dengan peguam pemaju, Sharif.

Minta tangguhkan tindakan

Loke meminta Sharif menangguhkan tindakan meroboh kediaman penduduk kampung sementara kes ‘perintah penggantungan pelaksanaan’
yang difailkan oleh penduduk kampung yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Seremban pada 17 Oktober akan datang.

Selepas berbincang lama akhirnya Sharif mengarahkan pemandu dua jentera yang sedang merobohkan dua rumah penduduk supaya berhenti
meroboh rumah tersebut.

Sharif memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Siti Mariah Ahmad, petang ini untuk tindakan seterusnya, sama ada meneruskan tindakan merobohkan rumah penduduk kampung atau menangguhkan dulu tindakan meroboh ini sehingga kes ‘perintah penggantungan pelaksanaan’ didengar pada 17 Oktober ini.

Penduduk asal Kampung Kakka di bawa oleh penjajah British untuk bekerja di lombong bijih timah berhampiran kawasan kampung mereka.
Kini generasi kelima seramai 61 keluarga masih tinggal di kampung yang dilengkapi dengan kemudahan air, elektrik, tokong dan jalan bertar.
Penduduk kampung ini telah banyak menyumbang untuk pembangunan di sekitar kawasan Mantin ini.

Pada tahun 1998 penduduk kampung terkejut apabila mendapati tanah rezab kerajaan negeri telah dijual kepada pemaju tanpa pengetahuan
penduduk. Di dapati, sehingga tahun 1998 penduduk kampung telah membayar TOL kepada kerajaan negeri. Sehingga hari ini penduduk kampung masih membayar cukai taksiran kepada Majlis Perbandaran Nilai.

Pada tahun 2005 Majlis Perbandaran Nilai dan Pemaju Mega 9 Sdn Bhd telah mengumumkan bahawa satu projek Mega akan dilaksanakan yang dikenali sebagai ‘Mantin New Township’, menurut sumber FMT.

Pada 2011, Pemaju Mega 9 telah merobohkan dua buah rumah kampung untuk memulakan projek perbandaran Mantin. Justeru itu penduduk kampung menentang tindakan perobohan rumah penduduk dan mahu pemaju berunding.

Namun pemaju enggan berunding dan masih mahu meneruskan kerja kerja projek di kawasan kampung.

Akibat penentangan berterusan oleh penduduk kampung, pemaju tidak dapat meneruskan projek di Kampung Hakka.

Oleh itu pemaju memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Seremban untuk mengusir penduduk kampung. Pada 26 Ogos 2013, Mahkamah Tinggi Seremban telah memutuskan untuk membenarkan pemaju mengusirkan penduduk kampung melalui order 89.

No comments:

Post a Comment