Monday, 10 March 2014

Jari kanak-kanak tersepit pada tombol pintu



TANJUNG MINYAK - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam apabila jari telunjuk kanannya tersepit dan melekat pada tombol pintu utama rumah yang tercabut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, El Nayli Uzma Kamaruddin, 8, dikatakan membuka pintu utama rumahnya di Taman Tanjung Minyak Jaya, di sini, untuk menjemput bapanya, Kamaruddin Ismail, 36, yang bekerja di Hospital Mahkota.

Ibu mangsa, Norzali Hanim Jantan, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas pelik melihat kelakuan anak keduanya itu yang tiba-tiba senyap ketika dia sedang mengambil baju yang tersidai di ampaian.

"Melihatkan perubahan Nayli, saya bertanya kepadanya apa yang terjadi selepas melihat perlakuannya seperti menyembunyikan sesuatu dan ketika itulah Nayli menunjukkan jari telunjuknya kanannya yang melekat pada tombol pintu yang tercabut.

“Pada mulanya saya terkejut dengan kejadian itu, tapi dapat mengawal perasaan cemas memandangkan Nayli kelihatan begitu tenang menghadapi situasi itu meskipun jarinya sudah mula membengkak,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cara dilakukan termasuk menggunakan air, minyak gamat dan losyen namun usaha itu tidak berjaya.

“Sewaktu melihat jarinya itu, saya hairan kerana ia basah dan Nayli memaklumkan bahawa sebelum itu dia cuba mengeluarkan jarinya dengan membasahkannya, namun usaha itu tidak berhasil.

“Selepas 15 minit berusaha, saya akhirnya menelefon suami dan memaklumkan mengenai kejadian itu. Suami saya meminta kami menjemputnya dahulu sebelum bergerak ke balai bomba bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kubu, di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir berkata, mangsa datang ke balai melaporkan kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.

“Tujuh anggota bomba dengan menggunakan inovasi baru yang direka khas iaitu Fire Rescue Ring Cutter untuk mengeluarkan jari mangsa dari besi tombol berkenaan.

“Operasi itu berjalan dengan lancar kerana mangsa tenang memberikan kerjasama bagi mengeluarkan jari telunjuk kanannya yang tersepit dan ianya berakhir kira-kira 7.15 petang,” katanya.

No comments:

Post a Comment