Rafizi Ramli
SHAH ALAM - PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan untuk menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS).
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam CCRIS merupakan satu 'ugutan dan hukuman' serta perbuatan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat, terutama golongan muda.
Sehubungan itu katanya, parti itu akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat kerajaan sehinggalah ia dibatalkan oleh kerajaan.
“Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
“Tindakan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat ini mempunyai kesan besar kepada rakyat terutamanya anak muda.
"Apabila maklumat pembayaran dan pinjaman PTPTN disenaraikan di dalam CCRIS, ia membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Idris memberitahu, PTPTN akan melaksanakan Sistem CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.
Idris berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.
"PTPTN merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank," katanya.
Sementara itu, ujar Rafizi, langkah yang diambil kerajaan akan membolehkan institusi kewangan menafikan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi kepada peminjam yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.
Katanya lagi, peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain.
Tambah Rafizi lagi, beliau percaya bahawa langkah untuk menyenaraikan peminjam dalam sistem yang diuruskan Bank Negara Malaysia itu tidak akan memperbaiki prestasi PTPTN untuk mengutip hutang berkenaan.
“Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama institusi tersebut menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam.
“Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.
"Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan," ujarnya.
Tambah Rafizi: "Saya memberi amaran kepada menteri berkaitan supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS kerana kami akan menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh BN."
No comments:
Post a Comment