Saturday, 19 October 2013

Mayat wanita ditemui dalam bilik tidur


BAHAU – Panggilan rakan yang tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan mengiring atas katil dalam bilik tidurnya di Kampung Indah, dekat sini, petang kelmarin.

Mayat Noni Satrojo, 55, seorang warga Indonesia ditemui rakannya kira-kira 5.50 petang.

Mangsa yang memegang kad pengenalan permastautin tetap menetap di kampung tersebut sejak lebih enam tahun lalu dan pernah berkahwin serta mempunyai seorang anak angkat.

Rakannya, Yati Warsid, 44, berkata, dia tergerak hati menjenguk keadaan rakannya itu setelah berasa tidak sedap hati selepas melihat keadaan Noni yang tidak sihat, Ahad lalu.

“Saya tergerak hati untuk berjumpa arwah. Puas saya panggil namanya tetapi tidak bersahut. Kemudian, saya masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci dan terus ke biliknya, namun dia sudah meninggal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Yati berkata, jiran di kawasan itu memanggil Allahyarham Noni sebagai Mami Noni.

“Dia seorang yang sangat disenangi rakan-rakan. Walaupun tinggal bersendirian, namun anak angkatnya sering menjenguknya,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Abd Salim Osman, 49, berkata, sebelum kejadian, dia ternampak Noni menyidai pakaiannya seperti biasa, cuma pintu belakang rumahnya tidak ditutup seperti kebiasaannya, menurut sumber Sinar Harian.

“Biasanya arwah akan tutup pintu walaupun berada dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa maut disebabkan semput dan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

No comments:

Post a Comment