Thursday, 26 September 2013

PELBAGAI PERTENTANGAN DI DALAM KEEMPAT-EMPAT INJIL BERKENAAN DAKWAAN PENYALIBAN NABI YESUS (AS)



Keimanan golongan Kristian bersandar pada keyakinan bahawa Nabi Yesus (as) disalib dan dibunuh di palang lalu akan dibangkitkan semula. Namun sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Nabi Yesus (as) tidak disalib dan dibunuh, sebaliknya diangkat hidup-hidup ke hadirat Tuhan untuk diturunkan semula pada Akhir Zaman. Faktor yang menyebabkan komuniti Kristian mempertahankan kepercayaan bahawa Nabi Yesus (as) disalib ialah beberapa bahagian di dalam Injil. Walau bagaimanapun, petikan-petikan yang tertulis di bahagian tersebut, sepertimana yang telah kami tegaskan sebelum ini, merupakan kenyataan berlawanan yang ditambah ke dalam Al-Kitab pada kurun ketiga selepas pemergian Nabi Yesus (as) dari muka bumi.

Sebahagian daripada kenyataan bertentangan yang dibincangkan adalah seperti berikut:
Pelbagai kenyataan berbeza dalam Injil tentang penyaliban Nabi Yesus (as)
Siapa yang membawa salib?
Terdapat kenyataan bahawa salib dibawa oleh Simon dari Kirene dalam Markus 15:21, Matius 27:32 dan Lukas 23:26:
Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Matius 27:32)
Dalam Injil Yohanes pula, dinyatakan bahawa salib dibawa oleh Nabi Yesus (as) sendiri:
Sambil memikul salib-nya,Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama "tempat tengkorak." (dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut "Golgota".) (Yohanes 19:17)

Perompak yang disalib:
Diceritakan dalam bahagian Markus 15:27, Matius 27:44 dan Lukas 23:39-42 bahawa Yesus kononnya disalib bersama dengan dua orang pencuri. Ketidaksesuaian di sini ialah pihak Rom tidak pernah menyalib perompak.1
Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-nya. (Markus 15:27)
Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina dia seperti itu. (Matius 27:44)

Maklumat berbeza tentang masa penyaliban Nabi Yesus (as):
Menurut petikan dalam Injil Matius 27:45-46, Lukas 23:44-46 dan Yohanes 19:14-15, masa di antara jam 12 tengahari sehingga jam 3 petang merupakan masa penyaliban Nabi Yesus (as), manakala Injil Markus 15:25 mencatatkan jam sembilan pagi.
Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang.Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam rumah tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, "Ya Tuhan, aku serahkan diriku ke dalam tangan-Mu!" Setelah berkata demikian, dia pun meninggal. (Lukas 23:44-46)
Mereka menyalibkan dia pada pukul sembilan pagi. (Markus 15:25)

Ucapan terakhir Nabi Yesus (as):
Pertentangan di dalam keempat-empat injil juga lahir berkenaan perkataan terakhir yang diucapkan Nabi Yesus (as) semasa penyaliban. Petikan dalam Markus 15:34-37 dan Matius 27:46-50 menyatakan bahawa Nabi Yesus (as) menyerukan ayat berikut:
Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, "Eloi, Eloi, lama sabakhtani?" yang bererti, "Ya Tuhan-ku, ya Tuhan-ku, mengapa Engkau meninggalkan aku?" (Markus 15:34)
Dalam Injil Lukas pula, ayat terakhir Nabi Yesus (as) diungkapkan secara berbeza:
Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, "Ya Tuhan, aku serahkan diriku ke dalam tangan-Mu!" Setelah berkata demikian, dia pun meninggal. (Lukas 23:46)
Manakala Injil Yohanes mencatatkan kenyataan yang amat berlainan:
Yesus mengecapnya lalu berkata, "Sudah selesai!" Setelah itu dia menundukkan kepala dan meninggal. (Yohanes 19:30)

Nabi Yesus (as) diberi minum wain atau anggur asam (wine vinegar)?
Dalam beberapa ayat yang mendakwa bahawa Nabi Yesus (as) disalib, dinyatakan bahawa baginda diberi minum sesuatu sebelum disalib, namun sementara Injil Markus menerangkan minuman ini sebagai wain, Injil Matius, Lukas dan Yohanes pula menyatakannya sebagai cuka (anggur asam):
Menurut Injil Markus, Nabi Yesus (as) diberi minum wain:
Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi dia tidak mahu meminumnya. (Markus 15:23)
Menurut Injil Matius, Lukas, dan Yohanes, Nabi Yesus (as) diberi minum anggur asam:
Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. (Matius 27:48)
Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-nya. Mereka berkata, "Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!" (Lukas 23:36-37)
Mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. Yesus mengecapnya lalu berkata, "sudah selesai!" setelah itu dia menundukkan kepala dan meninggal. (Yohanes 19:29-30)

Gempa bumi yang berlaku semasa pengebumian Nabi Yesus (as):
Penjelasan ini terdapat dalam Injil Matius:
Kemudian tirai yang tergantung di dalam rumah tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Tuhan yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. (Matius 27:51-53)
Dalam Injil Markus, Lukas dan Yohanes, terdapat beberapa takrifan berbeza tentang pengebumian Nabi Yesus (as), namun satu kejadian gempa bumi yang mustahil untuk dilupakan kerana ia memang berlaku, tidak pernah dinyatakan.

Kejadian-kejadian yang berlaku berikutan pengebumian Nabi Yesus (as):
Kejadian-kejadian yang berlaku selepas pengebumian Nabi Yesus (as) juga ditulis secara berlainan dalam keempat-empat injil:
Kemudian tirai yang tergantung di dalam rumah tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah,kubur terbuka, dan banyak umat Tuhan yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. (Matius 27:51-53)
Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan. Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut. (Markus 16:4-5)
Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah ...Yesus. Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. (Lukas 24:2-4)
Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. (Yohanes 20:3-7)

Nabi Yesus (as) di hadapan majlis agama:
Dalam Injil Markus 14:53, Matius 26:57 dan Lukas 22:54, Nabi Yesus (as) dibawa ke hadapan Imam Besar Kayafas, manakala Injil Yohanes menyatakan Hanas, mertua Kayafas.
Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah imam agung....(Markus 14:53)
Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa dia ke rumah imam agung Kayafas.... (Matius 26:57)
Mereka menangkap Yesus dan membawa dia ke rumah imam agung. Petrus mengikut dari jauh. (Lukas 22:54)
Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas.Kayafas bertugas sebagai imam agung pada tahun itu. (Yohanes 18:13)

Perbicaraan terhadap Nabi Yesus (as):
Kisah perbicaraan terhadap Nabi Yesus (as) juga berlainan dalam kesemua injil.
Menurut Injil Yohanes, hanya imam agung yang menyelidiki Nabi Yesus (as):
Kemudian askar-askar Roma dengan komandan mereka dan pengawal-pengawal Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai imam agung pada tahun itu. Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat... Imam agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikutnya dan ajarannya. (Yohanes 18:12-14,19)
Sementara berdasarkan Injil Markus, Lukas dan Matius, Nabi Yesus (as) dibawa ke hadapan semua ahli majlis agama:
Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan majlis agama. Mereka berkata, "Katakanlah, benarkah kamu ini penyelamat yang diutus oleh Tuhan?" ...(Lukas 22:66-67)
Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah imam agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul...Para ketua imam dan seluruh majlis agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. (Markus 14:53-56)
Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa dia ke rumah imam agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah imam agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada majlis agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepadanya. (Matius 26:57-59)

Perbicaraan Nabi Yesus (as) oleh Herodes:
Dalam Injil Lukas, dinyatakan bahawa Nabi Yesus (as) disoal siasat oleh Raja Herodes:
Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, "Adakah orang ini orang Galilea?" Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem. Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun. Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat. Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus. Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan. (Lukas, 23:6-12)
Dalam Injil Matius, Markus dan Yohanes, siasatan terhadap Nabi Yesus (as) oleh Herodes tidak disebutkan.
Kesemua pertentangan yang dibincangkan adalah bukti nyata bahawa dakwaan tentang penyaliban Nabi Yesus (as) hanya bersandarkan pada maklumat yang salah, penjelasan berkaitan peristiwa dan persekitaran yang saling berlawanan. Allah Yang Maha Kuasa menyatakan dalam Al-Quran bahawa Nabi Yesus (as) tidak disalib atau dibunuh, namun golongan yang ingkar mengalami satu situasi di mana mereka menyangka bahawa ianya berlaku sedemikian rupa. Tuhan kita mewahyukan di dalam Al-Quran bahawa tuntutan tentang Nabi Yesus (as) ini tidak benar; rencana jahat yang diatur oleh golongan munafik dan ingkar terhadap baginda telah gagal dan Nabi Yesus (as) diangkat ke sisi Tuhan. Apabila pertentangan dianalisa melalui sudut pandang Al-Quran, kekeliruan serius ini akan dapat diterangkan: Penjelasan berkenaan Nabi Yesus (as) dibunuh di palang salib, sepertimana kenyataan salah lainnya, adalah fahaman menyimpang yang ditambah kemudian ke dalam Injil untuk satu tujuan khusus. Anda dapat membaca penjelasan kami berkaitan hal ini dalam artikel seterusnya.

1 http://www.examiner.com/catholic-in-albuquerque/the-last-days-with-jesus-who-is-barabbas-part-2
2 http://www.2think.org/hii/bible_cr.shtml

The Prophet Jesus (pbuh) did not die, he was raised to God’s Sight2010-12-18 13:56:58

SUMBER:http://ms.harunyahya.com/ms/Artikel/35954/Pelbagai-pertentangan-di-dalam-keempat-empat-Injil-berkenaan-dakwaan-penyaliban-Nabi-Yesus-%28as%29

No comments:

Post a Comment