Tuesday 10 September 2013

Kenaikan harga rumah di Kuching melampau

Kenaikan harga petrol akan terus menjana kenaikan harga rumah kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan harga bahan binaan dan kos pembinaan.
KUCHING: Harga rumah di Kuching terus meningkat melebihi indeks rumah purata keseluruhan di Malaysia.

Ketua Wanita PKR Negeri, Voon Shiak Ni berkata sebagai seorang pengamal undang-undang dalam urusan hartanah, sejak dua tahun yang lalu beliau mendapati bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 10% ke 20% daripada harga rumah kediaman di seluruh Kuching.

“5 tahun yang lalu, harga standard rumah dua tingkat dan teres pertengahan berharga di antara RM350,000 dan RM400,000,” katanya.

“Kini, sebuah rumah teres di Kuching mencecah RM400,000 dan rumah berkembar hampir mencecah di antara RM800,000 kepada RM1 juta,” tegas beliau.

Beliau berkata antara faktor lonjakan harga di Kuching kerana kenaikan harga bahan binaan yang membawa kepada peningkatan kos pembinaan dan juga peningkatan dalam kos buruh yang disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kenaikan harga petrol akan terus menjana kenaikan harga rumah kerana ia secara lansung akan menyumbang kepada peningkatan dalam harga bahan binaan dan kos pembinaan,” lanjut beliau.

“Peningkatan harga barang oleh kenaikan petrol membuatkan harga rumah meningkat secara melulu,” katanya.
Baru-baru ini kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen dan RON97 sebanyak 15 sen untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi yang akan menjimatkan pendapatan negara sebanyak RM1.1b.

Beliau juga menambah peningkatan pasaran juga membuka spekulasi dan akibat daripada itu mendorong kenaikan harga rumah.

“Langkah-langkah perlu diambil untuk membendung kenaikan harga rumah dan kami menyeru kerajaan untuk mengambil beberapa langkah membendung spekulasi dan mengawal harga barang tertentu untuk mengawal kenaikan harga rumah,” katanya.

“Kami juga merayu untuk skim perumahan yang lebih oleh Kerajaan, untuk menyediakan lebih banyak rumah yang mampu untuk membantu keluarga muda untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah untuk keluarga,” beliau akhiri.

No comments:

Post a Comment