Tuesday 30 July 2013

Lagi Kes Tembak - Pengerusi MyWatch cedera ditembak

Pengerusi MyWatch ditembak
Kereta milik mangsa diperiksa pihak polis.

SEREMBAN - Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyWatch, R Sri Sanjeevan, 29, cedera parah akibat ditembak dua lelaki dipercayai India di persimpangan Taman Cempaka, Bahau, Jempol di sini, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa sedang memandu kereta jenis BMW bersama seorang rakannya menghala ke Pekan Bahau.

“Namun sebaik sampai di persimpangan Taman Cempaka, datang sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna merah menghampiri keretanya, lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang ketika itu sedang hisap rokok, dari jarak dekat.

“Tembakan tersebut kemudiannya mengenai siku kanan dan menembusi lengan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian rusuk kanan mangsa.

“Mangsa kemudiannya sempat memecutkan kereta kira-kira 300 meter, sebelum rakannya mengalihkan mangsa di kerusi belakang dan menghantarnya ke hospital Bahau.

“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi menjalani proses pembedahan mengeluarkan peluru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Bilik Media Ibu Pejabat Kontijen Polis Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Jempol dan Superintendan Hamzah Alias.

Tambah Osman, punca kejadian masih dalam siasatan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan dendam.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin, pihaknya telah menempatkan beberapa anggota polis untuk mengawal di bilik mangsa agar tiada sebarang gangguan berlaku.

Dalam pada itu, Osman memberitahu, 12 jam sebelum mangsa ditembak, dia ada memberitahu melalui laman sosial, Twitternya dia menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Namun kata Osman, kenyataan itu hanya diberitahu di laman sosialnya sahaja, dan tiada sebarang laporan polis dibuat di mana-mana balai di negeri ini.

Osman berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini yang akan dikendalikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan bantuan pasukan polis Negeri Sembilan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Osman berkata, kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diharap dapat tampil untuk membantu siasatan.

"Sehingga kini maklumat terhadap dua lelaki bermotosikal itu masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada maklumat nombor pendaftaran motosikal tersebut," katanya.

Sumber:- SH

No comments:

Post a Comment