Tiga sahabat maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, dekat Shah Alam, hari ini. Insiden 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu Perodua Viva, Adam Abdul Rahman yang berasal dari Muar, Johor dan dua rakannya, Ameer Asyraf Sulaiman (Jasin, Melaka) dan Nurul Maizura Maidan Dali (Labuan, Sabah) meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Trafik Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi berkata, seorang lagi rakan mereka, Nurfarina Mokhtar berasal dari Kelantan, yang juga penumpang di bahagian depan hanya cedera ringan.
“Mayat Adam, Ameer dan Nurul Maizura dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat manakala Nurfarina menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.
“Kesemua mangsa berusia 18 tahun. Adam, Ameer dan Nurfarina adalah penuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam manakala Nurul Maizura pula penuntut di Universiti Putra Malaysia, Serdang,” katanya.
Ruslan berkata, ketika kejadian, keempat-empat sahabat itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari taman tema i-City, di sini ke Kuala Lumpur.
“Berikutan kejadian itu, kesemua mangsa tersepit dalam kereta dan kita (polis) terpaksa meminta bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk mengeluarkan mangsa.
“Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan… sama ada ia disebabkan kecuaian pemandu atau berpunca dari (kerosakan) kenderaan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment