Tuesday 1 August 2017

"MCGYVER" MALAYSIA YANG SEMAKIN DILUPAKAN



Terkenal dengan jolokan MacGyver Malaysia pada era 80-an dan 90-an, beliau hadir mewarnai citra Malaysia melalui penciptaan unik yang tiada tolok bandingnya.

Zulkifli Haron, satu nama yang tidak asing di Malaysia ketika itu. Pemikiran kreatif dan inovasi beliau sentiasa mendahului zaman tidak kira apa jua rintangan.

Sebelum Google dan YouTube mendominasi kehidupan seharian kita, Zulkifli Haron telah pun berfikiran jauh merentasi zaman.

Kecanggihan hasil penciptaan beliau begitu sukar difahami beliau sehingga meraih perhatian bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Seawal tahun 1985, namanya sudah mula meniti di bibir masyarakat apabila sentuhan geniusnya menghasilkan kereta automatik pertama di Malaysia.

“Saya mencipta kereta automatik menggunakan sebuah kereta antik iaitu Peugeot 404,” kata Zulkifli.

Kereta Peugeot yang telah berusia 17 tahun itu kemudiannya mendapat jolokan ‘Knight Rider Malaysia’ kerana beberapa inovasi unik yang ada padanya.

Antara ciri unik yang melengkapi kereta ini ialah enjinnya boleh dihidupkan dengan arahan suara, wiper akan berfungsi secara automatic apabila hujan, begitu juga jika tingkap terbuka ketika hujan, ia akan tertutup secara automatic.

Selain daripada itu, kereta tersebut juga dilengkapi dengan sensor yang dapat mengawal kelajuan kereta bagi mengelakkan kemalangan selain alat keselamatan yang canggih pada ketika itu.

Sehingga kini beliau tidak berhenti mereka cipta.

Sejak tertubuhnya Zull Design Autotronic pada awal 90-an, Zulkifli tampil dengan pelbagai produk berasaskan inovasi.

Ramuan kejayaan Zulkifli mudah, beliau tidak pernah menyimpang daripada objektif asal iaitu fokus sepenuhnya penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya dalam kejuruteraan inovasi.

“Memang sejak kecil lagi saya berminat untuk mencipta dan mereka. Saya tidak pernah berpuas hati dengan apa saja produk yang saya beli atau lihat.

“Ada sahaja sesuatu perkara itu saya nak ubah suai, saya nak ‘upgrade’ dan perbaik kualiti atau kredibilitinya,” kata Zulkifli.

Kehidupan sentiasa berevolusi, teknologi pula semakin canggih setiap hari. Bagi Zulkifli, prinsipnya mudah, setiap individu perlu mempunyai keinginan untuk maju dan berupaya mengadaptasi dinamik perubahan.

“Sama ada seseorang itu nak buat atau tidak, itu sahaja.

“Pada tahun 90-an, kalau tak silap saya, telefon Atur yang sebesar bateri kereta merupakan teknologi yang paling canggih.

“Pada waktu tersebut, internet tiada, Google pun tiada dan kita pun tidak tahu apa itu internet dan Google pada ketika itu,” kata Zulkifli.

Zulkifli yang mengabdikan hidupnya mereka cipta dan mengembangkan inovasi adalah bukti jelas kejayaan seseorang dalam menempuh cabaran kedua Wawasan 2020.

Cabaran kedua ialah untuk mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram, dan maju yang dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Berbalik kepada usaha yang dilakukannya dalam era 80-an dan 90-an, Zulkifli berkata tidak ada satu pun geran dan dana daripada pelabur atau bank diperolehnya.

“Ketika itu, ciptaan saya adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat di mana-mana di Malaysia.

“Ciptaan sangat baru dan futuristik mungkin menakutkan pelabur dan pihak bank untuk memberi pinjaman. Ia tidak masuk akal bagi mereka untuk memberi pinjaman,” katanya sambil menambah bahawa apa yang akan dilakukan dengan jenis inovasi ketika itu.

Beliau juga berkata, jika beliau mahu membuka sebuah kilang yang akan mengeluarkan kereta yang boleh memandu sendiri pada tahun 1985, pengurus bank juga akan bimbang kerana teknologi itu tidak wujud di Malaysia.

Beliau menambah, “Bayangkan bagaimana rumit keadaan saya ketika itu untuk bergerak ke hadapan.

“Ia adalah sukar untuk maju ke hadapan. Saya juga terpaksa menghadapi cabaran daripada masyarakat yang kurang berfikiran terbuka untuk menerima produk buatan Malaysia.

“Orang ramai tidak melihat produk tempatan sama sekali. Jika mereka membeli, barangan antarabangsa sahaja diutamakan.”

Namun Zulkifli tidak patah semangat. Beliau tetap meneruskan usaha biarpun tidak mendapat suntikan dana yang amat diperlukan serta perhatian yang sewajarnya diberikan kepada seorang pereka cipta tempatan.

Tiga tahun lepas beliau membuat rekaan ‘Baju Terbang’ atau ‘jet pack’

Peralatan itu berjaya mengapungkan pengendalinya pada ketinggian enam meter selama tiga minit.

Proses kawalan pergerakan ‘Baju Terbang’ juga semakin sempurna sekali gus membolehkan pengendalinya mengemudi peralatan canggih itu ke kiri atau ke kanan.

Sesungguhnya Zulkifli telah mengharungi semua cabaran untuk merealisasikan idea-idea geniusnya hanya dengan bergantung semata-mata kepada kesungguhan dan potensi beliau.

Semangat kental serta disiplin yang ada pada Zulkifli ini jelas satu jelmaan cabaran kedua Wawasan 2020 iaitu sedar akan semua potensinya, berusaha mencapai kecemerlangan, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment