Saturday, 5 October 2013

Penjenayah Ditembak Mati Adalah Adik Beradik, Anak Polis?

Ipoh – Dua daripada tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Intan, Gerik, di sini, awal pagi kelmarin, disahkan sebagai pasangan adik-beradik tiri yang juga anak kepada seorang anggota polis.

Kedua-dua yang berusia 25 dan 26 tahun itu, jarang pulang ke rumah keluarga mereka di Kampung Tanjung Mas, Kelantan.

Mereka dikatakan mengaburi perbuatan jenayah dilakukan daripada ahli keluarga dengan mendakwa kononnya bekerja sendiri termasuk sebagai pemasang paip di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menurut sumber, bapa kepada suspek yang berpangkat lans koperal itu sudah lama tidak bertemu dengan kedua-dua anaknya itu dan kali terakhir dua anaknya itu pulang ke rumah pada Isnin lalu dengan alasan mahu bercuti serta ingin menziarahi keluarga di kampung.

Difahamkan, pasangan adik-beradik itu pulang ke kampung halaman mereka pada Aidilfitri lalu sebelum sekali lagi pulang menziarahi keluarga mereka pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, mereka meninggalkan rumah pada jam 4 pagi Selasa lalu tanpa diketahui tujuannya.

Bapa kedua-dua suspek yang bertugas di Kota Baharu, Kelantan, tidak mengetahui atau mengesyaki aktiviti jenayah yang dilakukan anak-anaknya itu.

Sumber berkata, beliau hanya mengetahui pembabitan anak-anaknya itu dalam kegiatan jenayah samun bersenjata api apabila dimaklumkan polis pada petang hari kejadian berbalas tembakan itu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua beradik terbabit termasuk seorang lagi rakan jenayah mereka berusia 34 tahun turut mati ditembak polis.

Dalam kejadian lebih kurang jam 1.40 pagi itu, pasukan polis yang mengekori ketiga-tiga penjenayah tersebut mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun suspek-suspek yang menaiki Proton Wira berwarna putih sebaliknya melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Polis terpaksa membalas tembakan dan berjaya menembak mati ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaan yang dinaiki suspek, polis menjumpai dua pucuk pistol serta 11 butir peluru.

Hasil semakan rekod jenayah mendapati ketiga-tiga suspek pernah terlibat dalam beberapa kes samun bersenjatapi termasuk menembak mati pemilik restoran nasi kukus di Paka serta melarikan kenderaan Toyota Hilux milik mangsa.

Ketiga-tiga penjenayah juga didapati terlibat dalam kes cubaan samun seorang wanita di Jalan Haji Ahmad Kuantan, Pahang.. – Harian Metro/ Gambar FB Polisperak


No comments:

Post a Comment