Kumpulan penggodam itu dipercayai menceroboh ATM di cawangan bank antarabangsa itu di Kota Damansara, Klang, Shah Alam, Kelana Jaya, Kajang dan Puchong, Selangor antara jam 12.30 tengah malam hingga 5 petang tadi.
Menurut sumber, kejadian di Kota Damansara, Klang dan Shah Alam membabitkan kerugian RM551,700 manakala pencerobohan ke atas ATM di Kelana Jaya, Puchong dan Kajang masih belum didedahkan jumlah kerugiannya.
Manakala pencerobohan ke atas ATM milik sebuah cawangan bank tempatan di Seksyen 14, Petaling Jaya yang disedari petang ini, membabitkan kerugian RM400,000 dipercayai dikeluarkan sindiket itu, kelmarin.
Berikutan kejadian terbaru itu, setakat ini sejumlah 13 cawangan membabitkan dua bank tempatan dan sebuah bank antarabangsa, dikenal pasti menjadi mangsa kumpulan penjenayah antarabangsa itu termasuk serangan ke atas enam cawangan Affin Bank Berhad (Affin Bank) yang dikesan, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Wira Mortadza Nazarene ketika dihubungi berkata, polis sedang bekerjasama dengan pihak bank terbabit bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah berkenaan dan sedang melakukan pemantauan rapi kes berkenaan.
Dalam kejadian membabitkan bank antarabangsa berkenaan, kehilangan RM285,700 daripada sebuah ATM yang digodam 12.46 tengah malam tadi disedari selepas ketua cawangan bank antarabangsa di Kota Damansara berkenaan meminta pekerjanya membuat pemeriksaan.
Sumber berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki disyaki warga Amerika Latin berpakaian hitam dan bertopi membuka mesin ATM dan memasang peranti elektronik sebelum suspek membuat empat kali pengeluaran antara 1 hingga 2.30 pagi membabitkan 2,761 not RM100 dan 480 keping wang RM20 bernilai RM285,700.
Di Klang, sebuah ATM cawangan bank sama di Jalan Raja Bot disedari diceroboh selepas pengurusan bank mengesan pengurangan wang sebanyak RM150,000 dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 petang ini.
Pengeluaran secara tidak sah itu disyaki dilakukan antara Jumaat hingga semalam dan kes itu dilaporkan di Balai Polis Bandar Baru Klang, petang tadi dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Sebuah lagi ATM di cawangan bank antarabangsa itu di Kajang yang digodam disedari jam 5.50 petang tadi manakala di Seksyen 9, Shah Alam, pengurusan cawangan bank itu menyedari ATMnya digodam kira-kira 7 malam ini sebelum pemeriksaan mendapati lebih RM100,000 dikeluarkan, tengah malam Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, siasatan awal mendapari sekurang-kurangnya dua individu disyaki membuat pengeluaran pada jam 12.30 tengah malam secara bergilir-gilir.
"Kita mengesyaki kedua-dua suspek adalah warga asing," katanya.
Sementara itu, Affin Bank hari ini memberi jaminan kehilangan wang tunai sebanyak RM1.271 juta dari ATM di enam cawangan bank itu di Johor Bahru, Batu Pahat, Taman Molek dan Melaka Raya manakala dua lagi di Petaling Jaya SERTA USJ, Subang Jaya, tidak menjejaskan akaun pelanggan.
Affin Bank dalam kenyataannya menjamin data peribadi pelanggan adalah selamat selain mempertingkat sistem keselamatan di semua cawangan dan ATM di seluruh negara.
Pelanggan boleh menghubungi pihak Affin Bank atau Affin Islamic di talian 03-55223000 untuk maklumat lanjut.
Sumber: Metro
No comments:
Post a Comment