Saturday 16 November 2013

Padah melarikan diri daripada polis


TASEK GELUGOR – Dua lelaki, dipercayai penjenayah, maut selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah jengkaut ketika dikejar peronda polis dalam satu nahas di Ara Kuda petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, insiden pada 5.45 petang itu berlaku selepas dua anggota peronda dari Balai Polis Padang Serai, Kedah melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC di kawasan Padang Serai dalam keadaan mencurigakan.

“Dua polis yang menaiki dua buah motosikal itu bertindak mengejar mereka sehingga sampai ke sempadan Kedah dan Pulau Pinang di Ara Kuda di sini, dan ketika itu, terdapat satu sekatan jalan raya oleh polis.

“Dua lelaki terbabit bertindak melanggar sekatan berkenaan dan ekoran itu, sebuah kereta peronda polis yang berada di situ turut mengejar motosikal terbabit sambil mengarahkan suspek memberhentikan motosikal, bagaimanapun, mereka terus memecut laju ke arah Tasek Gelugor,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, ketika keluar di simpang tiga di Ara Kuda, motosikal dinaiki suspek berusia 19 dan 27 tahun itu gagal dikawal ekoran laju sebelum merempuh bahagian depan jengkaut yang ingin masuk ke simpang berkenaan.

Abdul Rahman berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala dua anggota polis yang menunggang motosikal jenis Kawasaki cedera selepas turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Dua anggota polis yang mengejar mereka turut cedera selepas terlibat dalam kemalangan itu akibat tidak sempat mengelak manakala dua anggota polis yang menaiki kereta peronda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki dua lelaki berkenaan adalah motosikal yang dilaporkan dicuri di Kulim, bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, menurut sumber Rakyat News.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment