Wednesday, 30 October 2013

Belum Habis Berpantang Dah Di Tangkap Khalwat



Seorang suri rumah yang masih dalam tempoh berpantang dijatuhi hukuman denda RM2,400 atau lima bulan penjara, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Syariah di sini semalam kerana berkhalwat dengan pasangannya yang kini merupakan bekas kekasihnya, pada 7 September 2007.

Tertuduh, Salwa Rahayu Sharril, 23, dari Jerteh, Besut dituduh mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat dengan pasangannya di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 7 September 2007 jam 12.15 tengah malam.

Hakim, Kamarul Azmi Ismail menjatuhi hukuman itu selepas mengambil kira rayuan tertuduh agar meringankan bayaran denda kerana suaminya tidak memiliki pekerjaan tetap dan pendapatan tidak menentu.

Selain itu, tertuduh, ibu kepada dua anak ini turut merayu agar mahkamah meringankan hukuman disebabkan dia masih dalam tempoh berpantang.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Kamarul Azmi menasihati tertuduh agar bertaubat dengan segala dosa yang dilakukan itu dan mengingatkan tertuduh supaya menjadikan hukuman ini sebagai satu pengajaran buat dirinya.

Menurutnya, kes seperti yang dihadapi tertuduh iaitu ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tetapi berkahwin dengan orang lain, bukanlah satu kes baru buat generasi hari ini.

“Situasi ini jelas menunjukkan anak-anak gadis hari ini terlalu mudah membuat keputusan sedangkan tidak semestinya dia akan berkahwin dengan pasangannya itu, walaupun mungkin sudah menggadaikan maruahnya sendiri,” katanya.

Dalam hujah pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa Syarie Mahkamah Syariah Terengganu, Azmi Tengah, mahkamah sewajarnya memberi hukuman setimpal dan memandang serius berhubung kes seumpama ini kerana individu-individu ini adalah antara penyumbang ‘koleksi’ peningkatan anak luar nikah di negeri ini.

“Bagi pihak pendakwaan, kes seumpama ini tidak wajar dipandang remeh kerana ia adalah penyumbang utama pertambahan koleksi anak luar nikah di negeri ini untuk masa akan datang.

“Hukuman setimpal wajar diberikan kepada tertuduh kerana ia juga boleh dijadikan pengajaran kepada anak-anak gadis di luar sana yang sentiasa terdedah dengan gejala sosial yang semakin membimbangkan kini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan Azmi, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Penguat kuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan dan mendapati pintu bilik berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas mengetuk dan memberi salam, pintu dibuka seorang lelaki yang berbaju T dan berseluar jeans manakala hasil pemeriksaan turut mendapati ada seorang perem­puan­ berbaju T, berseluar jeans dan tidak memakai tudung sedang duduk pada bahagian kaki katil bujang.

Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan muhrim atau suami isteri.

Bagaimanapun, pasangannya, Nur Hazwan Mazli, 23, dari kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu gagal menghadirkan diri semasa hari perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang terakhir kepada tertuduh.

No comments:

Post a Comment