Saturday 14 September 2013

Penduduk Kampung Jln Kenangan terharu dapat TOL selepas 40 tahun


SHAH ALAM, 13 SEPTEMBER : Penantian 67 penduduk Kampung Jalan Kenangan, Kapar lebih 40 tahun yang tinggal berstatuskan setinggan berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Kegembiraan penduduk terbabit bertambah manis apabila mereka dijangka bakal memperolehi Borang 5A dalam jangkamasa tiga tahun sebaik tamat tempoh TOL pada 2016 nanti.

Menurut penduduk, Hamdan Bakri, 43, kejayaan itu berhasil usaha Penyelaras Adun Bukit Melawati, S.Manikavasagam ketika itu masih Ahli Parlimen Kapar, Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Pegawai Daerah Kapar memperjuangkan isu itu bagi mendapatkan status TOL tanah kediaman penduduk kampung.

“Mujur Kerajaan Negeri sekarang prihatin bantu kami, terima kasih juga kepada (Penyelaras Adun Bukit Melawati) S. Manikavasagam, (Exco Kesihatan) YB Dr Daroyah (Alwi) dan Pegawai Daerah yang bersusah payah berusaha hingga kami memperolehi TOL,” ujar Hamdan kepada TV Selangor.

Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi memberitahu, usaha mendapatkan TOL untuk penduduk Kampung Kenangan sudah dimulakan sejak beliau memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kapar pada 2008.

Bagaimanapun usaha itu menghadapi kesukaran apabila pihak Pejabat Daerah Klang meletakkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemantauan banjir.

“Selepas kira-kira lima hingga enam tahun, didapati rumah-rumah di Kampung Kenangan tidak dinaiki banjir kecuali dua, tiga buah rumah sahaja, barulah permohonan itu berjaya baru-baru ini.

“Dr Daroyah juga memaklumkan pihak beliau akan mengusahakan geran bagi tanah kediaman penduduk terbabit selepas TOL tamat tempoh tiga tahun akan datang melalui skim pemberian geran Kerajaan Negeri.

“Kesemua mereka dah tinggal atas tanah itu sudah lebih 10 tahun, jadi mereka memang layak sebab ada yang dah tinggal situ hingga 43 tahun,” kata Manikavasagam.

http://www.selangorku.com/?p=34529&fb_source=pubv1

No comments:

Post a Comment