Thursday 25 July 2013

Ditembak selepas balik bersenam


Ditembak selepas balik bersenam
Cermin kereta mangsa yang turut terkena tembakan
KLUANG - Seorang lelaki berusia 46 tahun cedera parah setelah ditembak yang terkena di bahagian badannya dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang baru selesai berjoging didatangi suspek ketika dia sedang menaiki keretanya.

Bagaimanapun cubaan membunuhnya gagal apabila mangsa berjaya memecut keretanya kira-kira tiga kilometer sebelum mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Mangsa dipercayai seorang ahli perniagaan itu kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai aspek.

“Sehingga saat ini, pihak kami masih belum mengetahui jenis senjata dan motif suspek yang membuat serangan terhadap mangsa.

Apa yang pasti suspek telah melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa. Malah, pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika dilihat daripada sudut kerjaya mangsa.

“Namun, saya menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana ianya akan mengganggu proses siasatan yang kami sedang jalankan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke kawasan rekreasi tersebut kerana kejadian seperti ini amat terpencil dan ianya hanya menumpukan kepada individu tertentu sahaja.

“Polis juga sedang menjalankan sekatan jalan di semua jalan masuk dan keluar dari bandar Kluang ini mulai petang kelmarin untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.
Sumber:- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment